Penarafan FoodPanda menjunam kepada 1.1 bintang.

Media Sosial 11 Okt: Penarafan pengguna terhadap aplikasi penghantaran makanan, FoodPanda di Google Play Store menjunam kepada 1.1 bintang , empat hari setelah kempen #UninstallFoodPanda dilancarkan oleh netizen.

Untuk rekod, aplikasi tersebut sebelum ini mendapat penarafan 4.3 bintang.

Hasil semakan Buletin TTKM di Google Play Store mendapati rata-rata pengguna yang memberikan ulasan pada penarafan 1 bintang menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap pengurusan FoodPanda yang didakwa tidak adil kepada penghantar mereka.

This slideshow requires JavaScript.

Kempen membuang pemasanganan aplikasi Food Panda di telefon bimbit, #UninstallFoodPanda dimulakan netizen pada 8 Oktober sebagai membantah maklum balas pengarah urusannya yang dikatakan bongkak.

Netizen turut berkempen untuk memberikan penarafan satu bintang kepada aplikasi tersebut sebelum membuangnya dari telefon bimbit.

Terdahulu Pengarah Urusan Food Panda, Sayantan Das dilaporkan berkata syarikat tersebut OK dengan mogok yang dilakukan oleh para penghantar kerana ia tidak melanggar undang-undang.

“Jika awak (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka,

“Mesej yang kami berikan adalah, jika awak tidak mahu kerja, kami OK sebab mogok tidak melanggar undang-undang” – Sayantan Das

Walaubagaimanapun, FoodPanda kemudian mendakwa sidang media mereka telah diambil di luar konteks, sebagai maklum balas terhadap kempen memboikot yang dilancarkan netizen yang berang dengan kenyataan pengarah urusan syarikat itu.

“Kami berasa kecewa melihat panggilan untuk memboikot Food Panda, selepas sebahagian daripada kenyataan kami dari taklimat sidang akhbar semalam diambil di luar konteks. Tujuan kami adalah untuk berkongsi bahagian cerita kami, dengan butir-butir mengenai skima baru itu kerana banyak maklumat yang salah.

Kami yakin bahawa skim pembayaran baru akan memberi manfaat kepada para pelanggan, rakan kongsi dan terutama penghantar kami.

Oleh itu, kami akan terus memantau pelaksanaan skim sebelum tindakan seterusnya.

Food Panda adalah ekosistem penghantar, rakan kongsi dan pelanggan – inilah tunggak kekuatan kami. Kami benar-benar menghargai dan menghargai sokongan berterusan anda. ” – Food Panda.

Untuk rekod, skim gaji baharu FoodPanda tidak diterima oleh sebahagian penghantar  kerana dikatakan memberikan pulangan lebih rendah dari skim yang lama. Mereka kemudian melakukan  mogok sebagai membantah tindakan majikan itu.

Firma seperti Foodpanda dan Grab beroperasi pada bahagian undang-undang yang samar kerana penghantar makanan mereka dikategorikan sebagai ‘rakan kongsi’ atau ‘freelancers’ dan bukannya pekerja, dan oleh itu mereka tidak mempunyai undang-undang perlindungan seperti yang diperoleh pekerja sepenuh masa.  -Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.