LTTE: Tun pertahan polis guna SOSMA.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menahan 12 individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Berita Harian memetik Perdana Menteri sebagai  berkata penahanan itu, yang turut membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dilakukan menggunakan SOSMA kerana tiada undang-undang lain boleh digunakan dalam siasatan polis membabitkan LTTE ketika ini.

Beliau juga sudah mendapat penerangan polis berhubung penahanan itu dan berpuas hati dengan alasan serta bukti dimiliki polis, yang menjadi asas untuk penahanan itu dilakukan.

“Saya ada penerangan daripada polis. Mereka ada sebab-sebab (untuk bertindak) dan saya berpuas hati dengan alasan mereka mengambil tindakan.

“SOSMA masih wujud ketika ini. Disebabkan tiada undang-undang lain, maka polis menggunakan akta ini,”  – Tun Dr Mahathir

Dr Mahathir ditanya mengenai penahanan 12 individu dikaitkan dengan LTTE, yang dipersoalkan beberapa ahli politik, selain kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang berpandangan SOSMA tidak sepatutnya digunakan.

Setakat ini, polis menahan 12 individu termasuk dua ADUN DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE, menerusi operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak Khamis lalu.

Susulan tangkapan itu, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menzahirkan keyakinan kedua-dua ahli parti itu tidak bersalah, manakala Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, menggesa individu yang ditahan didakwa di mahkamah segera jika ada bukti mencukupi.

Jumaat lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik, untuk berhenti membuat kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan berkenaan.

LTTE adalah kumpulan pemisah di Sri Lanka yang diisytihar sebagai pengganas oleh 32 negara, termasuk Malaysia.

Pada Julai tahun lepas, Tun Dr Mahathir berkata kerajaan  akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memberi keadilan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya setiap kesalahan yang dibuat, ditentukan pihak mahkamah.

Beliau berkata, ada undang-undang di negara ini yang menekan dan bersifat zalim kepada rakyat diperkenalkan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“SOSMA membolehkan kerajaan tangkap sesiapa sahaja tanpa dibawa ke mahkamah.

“Pakatan Harapan akan ikut undang-undang. Ada undang-undang negara ini kita kuatkuasakan supaya rakyat tak ditindas dengan kerajaan yang tak peduli dengan undang-undang negara.

“Tak macam Najib. Jika tahanan mati, tidak akan ada inkuiri,” – Tun Dr Mahathir. 

Pada perkembangan yang sama, satu video ucapan Kula Segaran di upacara memperingati LTTE tular di media sosial sejak tengah hari tadi. -Buletin TTKM-

Baca laporan :

Video:YB Kula Segaran berucap pada upacara memperingati LTTE tular.



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version