2020: KL ke P.Pinang dalam masa sejam dengan kereta terbang.

Dewan Rakyat, 17 Oktober: Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang akan disingkatkan kepada sejam melalui projek kereta terbang.

Katanya, perbincangan tersebut kini diperingkat awal antara pihak swasta dan usahawan bagi memastikan ia boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020.

Redzuan berkata demikian di Dewan Rakyat ketika memaklumkan bahawa projek kereta terbang akan dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini, seperti dipetik portal Malaysiakini.

“Saya nak nyatakan di sini kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan sedang berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang selama satu jam mengunakan kanderaan kereta terbang, bukan saya nyatakan benda itu akan terjadi, tetapi telah ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020,”  – Redzuan Md Yusof

Redzuan berkata pihaknya dalam usaha untuk melancarkan projek ini secepat mungkin termasuklah memperkenalkan undang-undang melibatkan kereta terbang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dalam soalan tambahan kemudian meminta Redzuan menyatakan tarikh spesifik bilakah projek kereta terbang itu akan dilancarkan.

Redzuan walaubagaimanapun, tidak menyebut tarikh spesifik seperti yang diminta Khairy.

“Saya sebut ini usaha berterusan selari dengan pergerakkan teknologi atau inovasi terkini seluruh dunia. Jadi apa sahaja bentuk usaha kita untuk pastikan industri ini bergerak lancar dan boleh dipercepat.” – Redzuan Md Yusof

Redzuan turut mengulangi bahawa projek tersebut akan diterajui oleh sektor swasta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan.

“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang,” – – Redzuan Md Yusof

Mac lalu, Redzuan dilaporkan berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan dan prototaipnya dijangka diperkenalkan pada awal Oktober 2019.

Sehingga hari ini, prototaip tersebut masih belum dilihat.

Sebelum ini, replika kereta terbang tersebut ditroll hebat netizen.

-Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.