Gagal tunai janji tangguh PTPTN: 5 individu saman PTPTN dan PH.

Kuala Lumpur, 22 Okt:  LIMA individu memfailkan saman terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana didakwa melanggar janji   manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 14 untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman wang PTPTN.

Menurut laporan Harian Metro, Lima plaintif  tersebut adalah Andry Putra Haris, 28; Farah Athirah Kamarozaman, 28; Mohamad Asrol Md Jailani, 27; Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27, dan Mohammad Aswad Sobri, 34, yang diwakili peguam Adnan Seman memfailkan saman secara e-filing menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates, hari ini.

Mereka menamakan PTPTN selaku defendan pertama, PH selaku defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Berdasarkan penyataan tuntutan, kelima-lima plaintif diwakili peguam Adnan Seman mendakwa janji manifesto ditaburkan calon parti bertanding tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan antaranya untuk menangguhkan balik pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Plaintif mendakwa janji diberikan defendan kedua dalam buku harapan adalah kontrak yang mengikat plaintif dan masyarakat untuk mengundi PH pada PRU lalu.

Sehubungan itu plaintif menuntut satu deklarasi bahawa janji ketika pilihan raya dan atau manifesto pilihan raya adalah satu kontrak mengikat kepada parti politik yang menang pilihan raya itu.

Selain itu, plaintif menuntut satu perintah defendan menangguhkan pembayaran balik PTPTN oleh semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan.

Mereka turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi pengajaran, kos dan lain-lain relif.

Janji manifesto PRU 14 :Tangguh bayaran PTPTN  

Untuk rekod, salah satu janji 100 hari Pakatan Harapan adalah untuk menangguhkan pembayaran PTPTN selagi pendapatan peminjam tidak mencapai RM4000 sebulan.

ptptn.JPG
Janji #5 Pakatan Harapan dalam buku Manifesto PRU14

Manifesto PRU 14  tersebut ditanda tangani sendiri oleh Tun Dr Mahathir. Malah, beliau meminta pengundi supaya menolak Pakatan Harapan melalui proses demokrasi sekiranya janji tersebut gagal ditunaikan.

Dengan terbitnya buku ini, kami juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi oleh rakyat sejauh manakah kami berjaya memenuhi janji-janji ini. Jika kami gagal atau mungkir janji tolaklah kami melalui proses demokrasi. – Tun Dr Mahathir.

-Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.