Tue. Nov 12th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Komik propaganda: 28 naskhah dirampas KDN.

2 min read

George Town, 25 Okt: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 28 komik propaganda karangan Superman Hew, ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza di Pulau Pinang, di sini semalam.

Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang sebagai berkata, dalam serbuan pertama, 15 buah komik itu dalam versi Bahasa Melayu dirampas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua komik itu diterima dari beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah berkenaan.

“Seramai lima pegawai penguat kuasa KDN Pulau Pinang telah ke PPD Timur Laut dan menerangkan tujuan kedatangan mereka untuk mengambil komik tersebut yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana naskah tersebut telah diwartakan perintah larangan,” – ACP Che Zaimani Che Awang

Che Zaimani berkata, selain itu, semalam pihak KDN juga telah merampas 13 buah komik versi Bahasa Cina, di Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar, di sini.

“Kesemua komik itu telah dibawa balik ke pejabat KDN Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut menurut Seksyen 8(2) AMCP 1984,” – ACP Che Zaimani Che Awang

Katanya, mengikut seksyen itu, sesiapa yang didapati mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Superman Hew sebelum ini mengesahkan telah mencetak 2500 naskhah komik tersebut  untuk diedarkan ke sekolah menengah di seluruh negara dengan setiap sekolah diperuntukkan sebuah naskhah.

Pada 23 Oktober lepas, KDN telah mengumumkan bahawa komik tersebut diharamkan kerana “terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.”

Selain itu, KDN juga berkata kandungan penerbitan komik itu antara lain “cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta  mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.”

Semalam, Hew meletakkan jawatan sebagai CEO Majlis Perniagaan Malaysia-China rentetan kemelut ini.

Pada perkembangan yang sama, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak bersetuju dengan tindakan KDN mengharamkan komik tersebut selain menggesa perintah tersebut disemak semula-Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: