TAWAU 4 Nov: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendakwa pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, 38, enggan memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk dalam menyalurkan maklumat diperlukan, dengan memberikan alasan tidak masuk akal.
Antara alasan tersebut termasuk mendakwa Jho Low sudah melakukan pembedahan wajah menyerupai `beruang’, lapor Berita Harian.
“Antara alasan diberikan mereka, termasuk kononnya dia (Jho Low) sudah mengubah rupanya dengan menjalani pembedahan muka dan menyerupai beruang.
“Muka dia dikatakan sama seperti muka beruang. Saya tidak tahulah, tetapi kononnya dia sekarang sudah mengubah rupa bentuk mukanya,” – Tan Sri Abdul Hamid Bador
Tambahnya lagi, ahli perniagaan dalam buruan itu dipercayai masih berada di negara persembunyiannya, namun pihak berkuasa negara terbabit mendakwa sukar mengesannya atas alasan sudah mengubah wajahnya.
“Ada ketikanya dia berjalan akan menyerupai seekor Tambadau (Seladang). Jadi, bila kita lihat dari belakang, begitulah rupanya. Adakah logik alasan diberikan ini (oleh pihak berkuasa negara itu),” – Tan Sri Abdul Hamid Bador
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara di Batalion 24 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, di sini hari ini.
Kenyataan Abdul Hamid sebagai mengulas laporan akhbar tempatan Cyprus, Politis, mengenai keberadaan ahli perniagaan itu di negara terbabit, selain didakwa turut memiliki pasport negara kepulauan di Mediterranean itu selepas skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terbongkar.
Jho Low didakwa mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners bagi tujuan itu, dipercayai untuk mengelak pergerakannya dikesan pihak berkuasa antarabangsa dan Malaysia.
Ia firma sama digunakan Jho Low bagi mendapatkan pasport dari sebuah lagi negara kepulauan, Saints Kitts and Nevis sebelum ini, namun pasport berkenaan dibatalkan susulan siasatan dijalankan terhadap jutawan muda itu.
Pada September lepas, ketua polis negara dilaporkan berkata Jho Low akan dibawa pulang selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Kami tahu di mana dia berada. Begitu juga dengan empat lima individu yang menjadi konconya,”
“Ini berkaitan jenayah tetapi mengapa pihak di sana tidak mahu berikan kerjasama. Polis sudah meningkatkan usaha supaya mereka akur”
-Tan Sri Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid turut menganggap Jho Low adalah individu paling licik dan mempunyai agenda jahat berikutan individu itu menggunakan wang bagi membeli pengaruh selain memberikan rasuah untuk kepentingan sendiri. – Buletin TTKM-