Rasmi : BN menang besar, 15k majoriti

Tanjung Piai, 16 Nov: Barisan Nasional merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi menurut keputusan rasmi yang diumumkan SPR.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pencabar terdekat, Karmaine Sardini dari Pakatan Harapan (PPBM) mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Tiga lagi calon iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Ini bermakna calon GERAKAN, BERJASA dan dua calon Bebas kesemuanya kehilangan wang deposit.

Sementara itu, ribuan penyokong BN dan PAS bersorak diluar pusat penjumlahan undi di sepanjang jalan dengan menyanyikan pelbagai lagu diantaranya “Terima kasih, terima kasih Tanjung Piai”.

Jeck Seng sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sebelum tewas kepada penyandang, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu dengan majoriti tipis 524  undi. 

Kemenangan Parlimen Tanjung Piai menjadikan penguasaan keempat bagi BN selepas PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu, DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Md Farid akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

PRK Parlimen Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU14, Mei tahun lalu. Dari jumlah itu, BN berjaya merampas semula kerusi parlimen Cameran Highland, Semenyih dan yang terbaru Tanjung Piai dari Pakatan Harapan. -Buletin TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.