‘Kereta terbang’ tak jadi terbang esok.

Putrajaya 20 Nov: PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216)  atau lebih dikenali sebagai ‘kereta terbang’ yang dijadualkan esok.

CAAM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman facebooknya turut  berkata lokasi penerbangan ujian di UNIKL MIAT Hangar Subang adalah kurang dari 200 meter dari trafik penerbangan komersil dan helikopter dan jelas ia di Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang yang berada di bawah pengawasan ketat oleh Kawalan Trafik Udara.

TAmbah kenyataan itu, model EH216 itu hanya diberikan Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh Negeri Reka Bentuk (Pentadbiran Penerbangan Awam China) yang terhad untuk menjalankan Penerbangan & Penyelidikan Pembangunan di Grand World Science Park, Guangzhou, China.

Pada kenyataan yang sama CAAM turut menyatakan sedang  menjalankan siasatan terhadap penerbangan demonstrasi haram yang  melibatkan EH216 pada 15 November 2019 di kawasan yang sama di Lapangan Terbang Subang.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof  berkata  beliau akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’ itu esok di Subang.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

“Saya nak ulangi jemputan saya kepada ahli yang berhormat,  hari Khamis ni saya akan sendiri akan naik kereta terbang, kenderaan muatan dua orang. 

“Saya jemput kalau Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) nak datang pun nak ambil gambar dan duduk atas yang terbang tu, kita bolehlah sama-sama duduk sebelah” – Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof

Sementara itu, petang tadi Redzuan diasak oleh pembangkang di dewan rakyat berhubung status kenderaan terbang ‘ itu sama ada ia adalah kereta terbang atau drone.

Ini berikutan gambar model EH216 yang tular di media sosial yang turut dilengkapi 3 roda troli di empat bahagian kakinya.

“Panggil apa saja kamu suka, dron, kereta terbang, ia adalah mengenai mobiliti udara.

“Yang pentingnya, kalau kita baca Dasar Keusahawanan Nasional, antara teras strategik kita adalah untuk membangunkan industri penerbangan, aeroangkasa dan mobiliti udara.

“Masyarakat seluruh dunia tidak gelarkan dron… dron ni adalah flying dummy “
– Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kereta terbang yang diumumkan Mohd Redzuan Yusof merupakan sejenis dron dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum diterbangkan. – Buletin TTKM

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.