“Beri hak milik kekal kampung baru Cina!” – DAP Perak

IPOH, 25 Nov: DAP Perak mendesak kerajaan negeri menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Sinar Harian melaporkan Pengerusinya, Nga Kor Ming  sebagai berkata, beberapa janji lain yang terkandung dalam buku manifesto tawaran Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-41 (PRU14) lalu itu juga akan dituntut.

Menurutnya, video Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika membacakan tawaran PH Perak itu kini tular di media sosial.

“Saya sarankan dan mempunyai harapan yang tinggi janji pemberian hak milik kekal kepada kampung baru Cina seharusnya bermula akhir tahun ini sempena Tahun Baru Cina dan satu keputusan wajar perlu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Kita cukup yakin menteri besar tidak akan mengecewakan rakyat negeri Perak dan menyanjung tinggi komitmen yang ditunjukkan,” – Nga Kor Ming

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen DAP Perak di Hotel Ritz Garden, di sini hari ini.

Hadir sama merasmikan konvensyen tersebut, Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Lim Kit Siang.

Dalam pada itu, Kor Ming turut mengarahkan lima Exco Kerajaan Perak dari DAP supaya membantu Ahmad Faizal melaksanakan janji yang termaktub dalam tawaran PH itu.

Menurutnya, segala janji diumumkan itu bukan janji DAP sebaliknya janji PH yang perlu ditunaikan segera selepas rakyat menghantar isyarat jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan kekalahan besar lebih 15,000 majoriti undi.

Terdahulu ketika ucapannya, Kor Ming turut menayangkan klip video yang didakwa diedit itu menunjukkan Ahmad Faizal sedang berucap membacakan tawaran PH sebelum PRU14 dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak.

Sementara itu, Kor Ming berkata, jika janji tersebut tidak dilaksanakan, maka video tersebut akan digunakan oleh MCA, UMNO dan Pas untuk mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Ketika kempen pilihanraya kecil Tanjung Piai baru-baru ini, satu video memaparkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal  yang berkata beliau berseorangan melawan ‘puak-puak DAP’ tular di media sosial.

“Ketika saya di Perak, saya keseorangan terkontang-kanting nak berlawan dengan puak-puak DAP ni. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu, saya nak perjuangkan agama kata. Saya lakukan itu perlahan-lahan. Tetapi, Alhamdulillah. Di sana (Perak), kawan-kawan UMNO tak adalah marah-marah saya macam ini ( seperti pengundi di Tanjung Piai).Kawan-kawan UMNO baik dengan saya” – Ahmad Faizal.

Video tersebut telah menyebabkan pemimpin DAP mendesak tindakan diambil terhadap Ahmad Faizal.

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Sementara itu, Buletin TTKM mendapati ketika kempen PRU 14 yang lalu, Harapan Perak turut berjanji untuk  memansuhkan semua tol termasuk Lebuhraya Persisiran Pantai Barat, susur keluar ke Teluk Intan jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU nanti.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ketika itu berkata, hasrat itu bakal direalisasikan apabila Harapan berjaya mentadbir Putrajaya.

Menurutnya, segala kontrak lebuh raya akan didedahkan selain mencari pendekatan terbaik untuk menghapuskan tol demi meringankan beban rakyat.
Walau bagaimanapun, kini setelah 18 bulan Pakatan Harapan memerintah Putrajaya, Nga Kor Ming membisu mengenai janji menghapuskan tol di Perak, sebaliknya beliau kini mahu menjuarai pula janji memberikan hak milik kekal tanah kampung baru Cina berikutan sokongan pengundi Cina kepada PH yang jatuh merudum ketika pilihanraya kecil Tanjung Piai baru-baru ini.  -Buletin TTKM-

 

1 Comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.