MP letih, sejuk punca PH hampir kalah undi

KUALA LUMPUR:  Antara punca jumlah kehadiran wakil kerajaan tidak memberangsangkan di Dewan Rakyat, semalam adalah keletihan di kalangan Ahli Parlimen yang terpaksa keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari.

Untuk rekod, insiden malam tadi hampir menyebabkan usul RUU Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dikalahkan pembangkang.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul, menjelaskan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) juga terikat dengan program tertentu, menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat.

“Lazimnya dalam sesi kali ini kita balik lewat. Selalunya sampai rumah jam 12 tengah malam dan tidur jam 1 pagi, kemudian bangun awal pagi, jadi keletihan.

“Juga ada banyak program kementerian dan agensi lain pada hujung tahun. Kita ada jadual, ada yang ikut, ada yang tak dapat ikut tapi kita akan pastikan korum mencukupi.

“Kebanyakan mereka ada di dalam kawasan Parlimen, sama ada di surau, kafe atau mesyuarat di tingkat atas.

“Mungkin kita kena bincang dengan Speaker untuk lihat bagaimana Ahli Parlimen boleh dapat waktu berkualiti. Sekarang agak penat dan tidak produktif,”  – Datuk Johari Abdul

Sementara itu, menteri di jabatan perdana menteri, Mohamed Hanipa Maidin. berkata tidak mudah untuk ahli parlimen duduk lama di dalam Dewan Rakyat untuk sidang kerana ia boleh menjadi terlalu sejuk.

“Tidak mudah bagi kami berada lama di dalam dewan rakyat untuk persidangan kerana (suhunya) boleh jadi terlalu sejuk kadangkala. Saya fikir di mana-mana sahaja di dunia, anda tidak akan menjangkakan ahli parlimen untuk berada lama sepanjang ketika (di dalam dewan rakyat).  – Mohamed Hanipa Maidin

Sementara itu, Buletin TTKM melakukan semakan di laman sesawang SPRM dan mendapati pendapatan bulanan Johari dan Hanipa adalah seperti berikut:

joharihanipa

Malam tadi, sidang Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah yang berlarutan lebih 20 minit antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika sesi undian belah bahagi dilakukan bagi meluluskan RUU Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikutan masalah korum.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian, apabila Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof, mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Tidak berpuas hati, pembangkang meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua, namun keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan, berbanding 28 tidak bersetuju.

Sementara itu,  Johari berkata  juga tidak melihat undi belah bahagi secara mengejut dilakukan pembangkang malam tadi sebagai isu besar, kerana PH juga melakukan perkara sama kepada Barisan Nasional (BN) ketika mereka masih pembangkang.

“Kita dapat agak ini akan berlaku apabila lihat beberapa wajah Ahli Parlimen BN yang kebiasaannya tiada pada waktu malam.

“Tindakan mereka menyasarkan penggulungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga boleh diagak kerana ia di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” – Datuk Johari Abdul

RUU membabitkan kementerian itu malam tadi digulung oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. -Buletin TTKM

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.