“Shamsul batu api kelas pertama” – Ratu Naga

KUALA LUMPUR, 11 Dis : Ketua Penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga menyifatkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai batu api kelas pertama kerana membidas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambah ratu naga lagi, kenyataan Shamsul adalah ibarat mencampak minyak petrol pada api yang sedang marak.

Beliau turut mengambil kesempatan mengkritik Shamsul mengenai perjalanan kongres PKR tempoh hari yang dicemari kejadian rusuhan, pergaduhan serta luka berdarah di dahi dan kepala beberapa ahli.

“Tanggungjawab yang diberikan padanya sendiri gagal dilaksanakan dan Shamsul Iskandar tiada ketika huru hara berlaku di luar pintu utama dimana kongres AMK sedang berlangsung. Dimana Shamsul Iskandar ketika itu? Jika beliau seorang pemimpin yang prihatin, Shamsul Iskandar sepatutnya berada di pintu utama waktu kongres AMK hendak berlangsung agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.” – Ratu Naga.

Untuk rekod, Ratu Naga yang sebelum ini merupakan cybertrooper UMNO tetapi melompat ke PKR dengan menyerahkan borang permohonannya kepada Zuraida.

Shamsul semalam berkata akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin parti supaya mengambil tindakan tegas dan keras terhadap Zuraida.

“Saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti KEADILAN untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap Naib Presiden YB Zuraida Kamarudin kerana perkara- perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti serta tidak boleh diterima sekali apatah lagi ia dilakukan oleh seorang pemimpin kanan parti yang seharusnya menjadi contoh dan suri tauladan kepada anggota parti yang lain.” – Shamsul

Berikut merupakan kenyataan penuh Ratu Naga

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN WANITA

KENYATAAN SHAMSUL ISKANDAR HANYA SEKADAR KENYATAAN BATU API

Saya tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shamsul Iskandar selaku Ketua Penerangan Keadilan yang membidas Zuraida Kamaruddin selaku Naib Presiden Keadilan. Saya juga ingin mengingati Shamsul Iskandar bahawa beliau sebenarnya yang telah gagal menjalankan tanggungjawab untuk memastikan kongres AMK berjalan lancar. Kita nilaikan sendiri apa yang sebenarnya berlaku dan layakkah insan bernama Shamsul Iskandar ini keluarkan kenyataan mengkritik Zuraida Kamaruddin. Tindakan Shamsul Iskandar boleh disifatkan sebagai mencampak minyak petrol pada api yang sedang marak

Ketika pertemuan di antara Azmin Ali dan Anwar Ibrahim bersama MPP lain di pejabat Menteri MEA di bagunan parlimen. Apa yang dibincangkan telah diputuskan dan sebulat suara telah mempersetujui resolusi empat pekara demi kelangsungan parti. Yang sedihnya, orang yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan perjalanan kongres AMK berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan adalah Samsul Iskandar, seperti mana dalam perjanjian kedua-dua pihak ketika itu.

Shamsul Iskandar telah ditugaskan untuk memastikan perjalanan mesyuarat dalam keadaan teratur dan seperti yang persetujui oleh kedua-dua belah pihak, dimana pengerusi tetap lama akan mengurus aturan mesyuarat dan buat pemilihan baru seperti aturan biasa mengikut perlembagaan. Kalau nak tahu, Itulah tugas yang diberi kepada Shamshul Iskandar dan berikutan apa yang terjadi pada kongres AMK lepas menunjukkan Shamsul Iskandar gagal menjalankan tugas dengan baik dan menjadi salah satu punca kenapa berlaku kejadian huru hara pada kongres AMK yang lepas

Di sini kita melihat Shamsul Iskandar hanya lebih suka bermain politik daripada memastikan perjalanan urusan parti berjalan dengan lancar. Tanggungjawab yang diberikan padanya sendiri gagal dilaksanakan dan Shamsul Iskandar tiada ketika huru hara berlaku di luar pintu utama dimana kongres AMK sedang berlangsung. Dimana Shamsul Iskandar ketika itu? Jika beliau seorang pemimpin yang prihatin, Shamsul Iskandar sepatutnya berada di pintu utama waktu kongres AMK hendak berlangsung agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Shamsul Iskandar tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan terhadap naib presiden iaitu Zuraidah Kamaruddin jika tanggungjawab yang kecil ini pun dia tak mampu nak pikul. Dia sepatutnya cermin dulu diri sendiri sebelum nak mengkritik orang lain. Kita bukan sedang dalam pertandingan siapa paling pandai mengarang kenyataan untuk mengapu dan jadi batu api. Apa kita mahukan adalah kenyataan dari Presiden menggunakan kebijaksanaan beliau untuk selesaikan isu yang sedang kian panas ketika ni. Kalau Shamsul Iskandar rasa dia nak tunjuk jadi jaguh untuk menegur Zuraida Kamaruddin, tunggu dia naik jadi presiden, timbalan presiden dan naib presiden baru sesuai.

Pendapat saya bagi menangani masalah yang berbangkit ketika ini ianya patut di selesaikan sendiri di antara presiden, timbalan presiden dan naib presiden. Saya mohon kepada yang lain agar berhenti menjadi batu api dan penjilat kerana ia tidak memberi apa-apa kesan yang baik terhadap imej dan persepsi terhadap parti.

Selaku ketua penerangan beliau lebih baik memfokuskan dasar-dasar kerajaan seperti mana yang telah kerjaan laksanakan daripada sibuk 24 jam bermain politik yang tak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada rakyat melainkan kebaikan pada diri sendiri. Rakyat sudah jelik, bosan dan ahli parti pun naik menyampah dengan situasi sekarang. Maka dengan itu kita gesa supaya pemimpin-pemimpin yang bukan daripada kalangan presiden, timbalan presiden dan naib presiden jangan masuk campur dan tak perlu keluar kenyataan yang semata-mata hanya untuk jadi jaguh menjilat dan mengampu serta mengipas. Jangan sampai satu ketika kalian menang sorak kampung tergadai. Maka buatlah kerja yang ditugaskan kepada anda sebaik mungkin dan berhenti menunjuk kononnya anda jaguh untuk satu-satu individu demi menjilat untuk kepentingan diri sendiri dan bukan pada rakyat

Selaku Ketua Penerangan dia sepatutnya cari jalan untuk menasihati Presiden untuk tindakan seterusnya dan bukan menjadi pengadu domba dikalangan kepimpinan. Perkara utamanya yang sepatutnya dia lakukan ialah dengan memastikan kesatuan parti ini terjamin. Tapi malangnya tindakan Shamsul Iskandar jelas mengambarkan dia sebagai yang berhormat batu api kelas pertama.

SYARUL EMA RENA ABU SAMAH @ RATU NAGA
KETUA PENERANGAN WANITA KEADILAN NASIONAL
10 DISEMBER 2019

Berikut pula merupakan kenyataan terdahulu Shamsul:

Kenyataan Media Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat – 10 Disember 2019

KENYATAAN ZURAIDA KAMARUDDIN MELAMPAU DAN KURANG BERAKHLAK

Usai Kongress Nasional KEADILAN di Melaka pada Ahad lalu dengan jelas menunjukkan bahawa suatu pergeseran dalaman parti sedang berlaku. Namun perkara ini sedaya upaya sedang cuba diselesaikan oleh Presiden KEADILAN YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan jelas dan tuntas menyatakan di dalam ucapan beliau dan kepada media bahawa satu titik temu penyelesaian perlu dicari serta dicapai bagi merungkai masalah yang sedang berlaku. Ini juga selaras dengan langkah bagi meneruskan musyawarah selepas pertemuan Presiden dengan Timbalan Presiden YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bangunan Parlimen sebelum kongres berlangsung di Melaka pada 4 Disember 2019 lalu.

Namun begitu, saya amat terkejut dengan kenyataan beberapa pemimpin kanan KEADILAN pada satu majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama” yang telah dianjurkan oleh pihak Timbalan Presiden di Hotel Renaissance pada Isnin lalu. Saya percaya majlis makan malam ini sememangnya telah dirancang lebih awal dan diadakan bagi menggantikan “Kongres Renaissance” yang terpaksa dibatalkan.

Kenyataan Naib Presiden KEADILAN YB Zuraida Kamaruddin pada majlis berkenaan yang dengan lantang mencaci dan menghina beberapa pemimpin KEADILAN antaranya Pengarah Komunikasi YB Fahmi Fadzil dan Pengerusi MPN Perak Saudara Farhash, adalah jelas melampau serta terkeluar daripada landasan adab dan akhlak. Serangan beliau kepada keperibadian Fahmi dan Farhash ini adalah sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku yang selayaknya sebagai seorang menteri kabinet.

Saya turut difahamkan bahawa didalam majlis itu YB Zuraida juga dengan bongkaknya telah membongkar beberapa perkara yang kononnya merupakan perbualan beliau dengan Presiden KEADILAN. Ini merupakan satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan dengan itu, saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti KEADILAN untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap Naib Presiden YB Zuraida Kamarudin kerana perkara- perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti serta tidak boleh diterima sekali apatah lagi ia dilakukan oleh seorang pemimpin kanan parti yang seharusnya menjadi contoh dan suri tauladan kepada anggota parti yang lain.

 

 

-Buletin TTKM-

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.