Hentikan kenyataan perbalahan dalaman parti – Anwar

Petaling Jaya, 12 Dis: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pimpinan dan anggota parti supaya menghentikan kenyataan perbalahan dalaman parti, sebaliknya meminta mereka mengemukakan pandangan serta bantahan dengan menggunakan saluran parti khususnya Lembaga Disiplin.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi di laman facebooknya.

Beliau juga berkata rakyat semakin bosan melihat perbalahan politik dalaman PKR.

“Parti harus tegak atas asas dan khittah perjuangan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, membela nasib rakyat semua kaum terutama yang miskin dan terpinggir dari arus pembangunan.

Rakyat yang pernah meletakkan kepercayaan kepada kita ternyata bosan dengan kenyataan-kenyataan yang merujuk kepada percaturan politik dalaman” 

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar berkata akan mencadangkan kepada parti supaya tindakan keras diambil terhadap naib presiden PKR kerana melanggar etika dan disiplin parti apabila berucap mengkritik presiden parti di majlis makan malam kemakmuran bersama pada Ahad lepas.

Sejurus selepas itu, Ketua penerangan Wanita PKR, Syarul Ema yang dikenali sebagai Ratu Naga pula mengeluarkan kenyataan membidas Shamsul dan menggelarnya sebagai batu api kelas pertama.

Krisis dalaman parti PKR bermula pada akhir kongres minggu lepas di mana perwakilan secara terang-terangan mengkritik timbalan presiden PKR, Azmin Ali dengan menggelarnya sebagai pengkhianat parti.

Sebelum itu, satu genjatan senjata dipersetujui di mana tiada serangan peribadi dilakukan oleh perwakilan.

Walau bagaimanapun, Azmin mendakwa genjatan tersebut dilanggar apabila Anwar sendiri memulakan ucapan dengan memetik sejarah Si Kitol dan Raja Mendeliar, watak pengkhianat dalam hikayat Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin. -Buletin TTKM-

Image may contain: text

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.