Sukan SEA gagal capai sasaran : “Saya mohon maaf”- Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya memohon maaf dan bertanggung-jawab sepenuhnya atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya memikul tanggungjawab penuh di atas kegagalan untuk memenuhi prestasi yang ditetapkan. Ia adalah tanggungjawab bersama di dalam pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), persatuan kebangsaan. Saya ingin memohon maaf kepada semua peminat sukan tanah air di atas kegagalan ini.

Saya telah pun memaklumkan kepada semua supaya tidak membebankan atlet dengan kata-kata negatif. Ambil celaan dan tanggungjawab bersama, ia disasarkan kepada kami dan bukan kepada atlet yang berjuang sekian lama untuk mengharumkan nama negara,” – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 

Beliau berkata demikian  kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN, hari ini, lapor Bernama.

Syed Saddiq turut  berkata berdasarkan kepada laporan awal, beberapa kelemahan yang menyebabkan kegagalan itu telah dikenal pasti antaranya sikap terlalu yakin dalam kalangan beberapa sukan yang diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas seperti sukan memanah, pelayaran dan tenpin boling yang berjaya pada edisi lepas dan kejohanan besar sebelum ini.

Begitu juga dengan sukan baharu diperkenalkan pada temasya kali ini yang sukar untuk dibuat perbandingan sasaran mereka kerana tidak mempunyai latar belakang prestasi yang boleh diukur.

Katanya, kegagalan kontinjen mengambil kira aspek pengadilan dalam penetapan sasaran juga menjadi antara faktor sasaran tidak dapat dicapai.

“Kebangkitan atlet dari negara Vietnam dan Thailand khususnya dalam sukan tradisi seperti olahraga, renang dan pelayaran menyebabkan pingat yang disasarkan tidak dapat dicapai selain daripada Filipina sebagai negara tuan rumah, turut menggagalkan sasaran kita dalam sukan ragbi dan olahraga, khususnya.

Beberapa atlet yang disasarkan telah tewas kepada atlet negara lain terutama tuan rumah yang menggunakan atlet dua kerakyatan, di mana sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod prestasi kerana tidak pernah mewakili negara tersebut,”  – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 

Syed Saddiq bagaimanapun berkata terdapat beberapa pencapaian yang tidak boleh dinafikan terutamanya pencapaian atlet pelapis negara yang agak memuaskan dengan lapan atlet pelapis telah menyumbang dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Kontinjen negara gagal mencapai sasaran awal untuk meraih 70 pingat emas apabila sekadar mengumpul 56 pingat emas, 57 perak dan 72 gangsa pada Sukan SEA Filipina yang menutup tirai pada 11 Dis.

Kelewatan Syed Saddiq  memberikan kenyataan berhubung prestasi mengecewakan kontinjen negara adalah kerana beliau menjalani pembedahan appendicitis . – Buletin TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.