May 18, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Dua iklan ‘sugar daddy’ diturunkan -DBKL

Kuala Lumpur 18 Disember: Setelah dikecam warganet dan tular di media sosial semalam, dua iklan LED  ‘sugar daddy’ di Bangsar dan Bukit Kiara telah diturunkan malam tadi.

Menurut kenyataan Unit Media Jabatan Perancangan Koporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, paparan iklan LED Sugarbook yang sensitif dan berunsur lucah itu merupakan milik Yayasan Wilayah Persekutuan yang telah melantik Tetuan Out Of Home sebagai operator.

Tambah kenyataan itu lagi, kandungan iklan tersebut tidak mendapat kelulusan dari DBKL dan YWP.

“Kandungan iklan SugarBook yang dipaparkan pada struktur iklan LED tersebut tidak mendapat kelulusan dari DBKL dan YWP. Pihak operator LED tersebut telah dimaklumkan berkenaan kandungan iklan yang sensitif dengan norma masyarakat Malaysia dan perlu serta merta mengeluarkan iklan tersebut dari paparan LED berkenaan. DBKL juga telah mengeluarkan arahan kepada YWP dan Out Of Home untuk menarik balik segera paparan iklan tersebut di  kedua-dua lokasi terlibat.” -DBKL

Image may contain: text

Terdahulu ketika dihubungi Buletin TTKM, ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengesahkan ia diturunkan malam tadi.

Tambahnya lagi, siasatan akan dilakukan mengapakah iklan sedemikian boleh disiarkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pengusaha didapati melanggar peraturan.

“Saya telah berhubung segera dengan Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta YB Khalid Samad, untuk menyatakan pendirian saya bahawa aplikasi dan iklan tersebut adalah tidak sesuai.

Saya difahamkan setakat jam 10 malam tadi iklan tersebut telah diturunkan (lihat video). Saya turut difahamkan iklan itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Iklan serupa yang dimainkan di sebuah papan iklan LED di Publika Mont Kiara dalam kawasan parlimen Segambut (YB Hannah Yeoh) juga telah diturunkan.

Siasatan akan dijalankan untuk mengenalpasti bagaimana iklan seperti ini boleh disiarkan, dan jika pengusaha didapati melanggar peraturan maka tindakan tegas akan diambil.” – Fahmi Fadzil

Menurut laman facebook Sugarbook, syarikat yang mengiklankan perkhidmatan sugar daddy tersebut, iklan billboard tersebut mula dinaikkan pada 3 disember lepas.

Sejak semalam, warganet mengecam iklan tersebut yang dipaparkan secara terbuka di tempat umum dan mempersoalkan sama ada ianya mendapat kelulusan DBKL.

Baca : Iklan ‘sugar daddy’ secara terbuka di ibu kota dikecam warganet

Setakat ini, menteri wilayah persekutuan, Khalid Samad masih belum memberi sebarang respon. -Buletin TTKM-

 

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: