“Kembalikan GST pada kadar 3%” – Dr Siti Mariah

Kuala Lumpur, 26 Disember:  Naib Presiden Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud mencadangkan supaya GST dikembalikan dengan kadar 3 % untuk menambah pendapatan negara.

Beliau berkata demikian di akaun facebooknya dengan nada sindiran  selepas dikritik hebat oleh oleh warganet kerana hantaran beliau yang mempersoalkan sama ada JPA melakukan sabotaj berhubung pengumuman pemansuhan elaun kritikal,

Tidak cukup dengan itu, Dr Siti Mariah Mahmud juga menyarankan kerajaan supaya memberikan apa sahaja yang rakyat mahukan seperti menaikkan gaji dan menambahkan elaun sara hidup kakitangan kerajaan.

“Kembalikan GST ke 3% untuk menambahkan pendapatan negara. Hapuskan hutang PTPTN , mansuhkan tol, subsidi petrol beri untuk semua rakyat, tambahkan bantuan BSH, percumakan pendidikan , percumakan air, tambah lagi kakitangan kerajaan dan lain-lain seperti yang dikehendaki rakyat dan pembangkang.” – Siti Mariah Mahmud

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya  semua pendapatan negara digunakan untuk pengurusan manakala untuk pembangunan boleh berhutang dengan negara seperti China . Jika tidak mencukupi, katanya kerajaan boleh mengambil duit dari kumpulan dana seperti KWAP, SOCSO  dan LTAT.

“Untuk pembangunan pula kita hutanglah dari negara kaya seperti China. Hutang kita bayarlah sikit sikit setakat mampu walaupun faedahnya lebih banyak kerana mengambil masa yang lama untuk bayar.

Kalau tak cukup duit lagi kita ambil lah dari KWAP, SOCSO , LTAT dan lain2 tabung negara. Nanti bayar baliklah.” – Dr Siti Mariah Mahmud

Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan tidak perlu bersunggguh-sungguh membanteras rasuah kerana menurutnya rakyat berkata mereka sukar untuk menjalankan perniagaan apabila tidak boleh lagi memberikan rasuah.

“Tak perlu bersungguh- sungguh banteras rasuah atau betulkan pentadbiran sebab rakyat kata susah nak berniaga bila tak boleh bagi duit bawah meja… ekonomi jadi perlahan dengan langkah kerajaan PH ni.

Kita benarkan rakyat hendak berniaga di mana sahaja yang mereka mahu, jangan robohkan rumah-rumah dan perniagaan tanpa kebenaran merancang atau tanpa izin. 

Hanya untuk mengambil hati rakyat dan untuk menang pilihanraya yg ke 15 nanti.” – Dr Siti Mariah Mahmud

Beliau kemudian mengakhiri hantarannya dengan menyindir rakyat.

“Jika semua ini akan merosakkan negara dalam jangka masa panjang kerana rakyat hendak hidup untuk sekarang, senang sekarang.

Apa kita peduli masa depan anak cucu kita 20 -50 tahun dari sekarang kita sudah tiada. Mereka tangani sendirilah masalah mereka di masa itu.

Yang penting rakyat bahagia sekarang.

Kalau sudah buat itu semua rakyat masih tak berkenan dan masih tak puas hati, maka realiti kerajaan sepenggal akan berlaku dan kita tinggalkan segala liabiliti kepada kerajaan baru pilihan rakyat pada PRU15 sepertimana PH menanggung liabiliti yg ditinggalkan BN. Setuju?”

Terdahulu,  Naib Presiden Amanah itu mempersoalkan sama ada JPA melakukan sabotaj terhadap menteri kesihatan berhubung pengumuman pemansuhan elaun kritikal yang banyak memberi kesan kepada pekerja kesihatan.

“Apakah yang hendak dilakukan oleh JPA? Sabotaj Menteri kesihatan kah? Orang lain makan nangka, orang lain kena getah. Yang Amat Berhormat Menteri Kesihatan kini di Mekah lah..”  – Dr Siti Mariah Mahmud

Hantaran tersebut menerima kecaman teruk netizen di mana beliau kemudian memohon maaf kepada JPA tidak sampai sejam selepas itu.

“Saya mohon maaf kepada JPA diatas kekhilafan” – – Dr Siti Mariah Mahmud

Cadangan mengembalikan GST pada kadar 3% itu dinaikkan beliau sejam selepas melakukan hantaran permohonan maaf tersebut.

Setakat ini, hantaran tersebut menerima lebih 4600 komen, dimana rata-ratanya mengkritik pemimpin Amanah tersebut yang dilihat tidak peka, malah emosional.

Untuk rekod, pengumuman JPA mengenai pemansuhan elaun kritikal (BIPK) adalah keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2019 yang DIPENGERUSIKAN OLEH YAB PERDANA MENTERI memutuskan supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) perlu dikekalkan kepada penerima sedia ada mengikut kadar sedia ada, walau bagaimanapun bersetuju tiada pemberian BIPK kepada pegawai lantikan baharu.” – JPA

-Buletin TTKM –

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version