KEMBALIKAN BIPK UNTUK SEMUA PROFESIONAL KESIHATAN- Kenyataan 5 persatuan profesional.

KEMBALIKAN BAYARAN INSENTIF PERKHIDMATAN KRITIKAL (BIPK) UNTUK SEMUA PROFESIONAL KESIHATAN

Kenyataan Bersama Lima Persatuan Profesional (28 Disember 2019)
Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia | Persatuan Pergigian Malaysia | Persatuan Perubatan Malaysia | Persatuan Jururawat Malaysia | Persatuan Farmasi Malaysia

Kami mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Malaysia menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) untuk semua lantikan baru mulai 1 Jan 2020 dalam 33 kategori perkhidmatan awam. Pemansuhan BIPK untuk Jururawat, Pegawai Farmasi, Pegawai Pergigian, Pegawai Perubatan dan Pembantu Perubatan (Penolong Pegawai Perubatan) yang memulakan perkhidmatan mereka selepas tarikh tersebut amatlah dibimbangi akan menjejaskan keseluruhan perkhidmatan kesihatan.

Selaras dengan itu, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mengembalikan BIPK sepenuhnya. Kami juga menggesa kerajaan Malaysia untuk meningkatkan tahap terma-terma perkhidmatan untuk semua profesional kesihatan untuk mengekalkan bakat di dalam perkhidmatan awam.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kami menghormati dan menyokong peranan Kerajaan untuk tadbir urus fiskal dan kewangan yang cekap dan bertanggungjawab. Kami memahami bahawa BIPK diperkenalkan pada tahun 1992 untuk menarik calon bagi penjawatan kritikal dalam perkhidmatan awam, bahawa ianya bukan peruntukan tetap, dan ianya tertakluk kepada kajian semula yang dilakukan secara berkala.

Namun demikian, ia amat mengecewakan apabila kajian semula pada tahun 2019 mendapati bahawa 33 kategori perkhidmatan tidak lagi memenuhi kriteria BIPK untuk menggalakkan penyertaan calon, termasuk lima kategori kakitangan yang terbesar di Kementerian Kesihatan. Salah satu penyumbang kepada isu “oversupply” adalah bahawa Kementerian Kesihatan memerlukan lebih banyak jawatan diwujudkan untuk berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia. Terdapat juga sepuluh kriteria lain untuk memutuskan soal pemberian BIPK, dan profesional kesihatan memenuhi sekurang-kurangnya tujuh kriteria: kos sara hidup; kesusahan; kepakaran kompetensi tambahan; keunikan tugas; kepentingan pengekalan; dan galakan.

Kami menekankan betapa pentingnya profesional kesihatan. 130,000 doktor gigi, doktor, jururawat, pegawai farmasi dan pembantu perubatan menyelamatkan nyawa di bandar, kampung dan hutan terpencil dari Arau ke Tuaran. Mereka bekerja dalam perkhidmatan “underfunded, understaffed, overworked and overstretched” seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara. Mereka perlu bekerja lama pada waktu malam, hujung minggu dan cuti dengan pengorbanan diri sendiri dan keluarga dari segi fizikal dan emosi. Ramai didorong oleh semangat kewajipan dan patriotisme dan kekal di dalam sektor awam walaupun gaji dan persekitaran lebih baik di sektor swasta atau negara lain. Malaysia mesti menghargai perkhidmatan dan pengorbanan mereka dengan pampasan yang mencukupi dari segi kewangan dan bukan kewangan.

Pemansuhan ini mungkin akan mengurangkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan, yang telahpun mengalami kekurangan jawatan dan penekanan jawatan kontrak. Dalam jangka pendek, semangat dan kedudukan profesion kesihatan boleh terjejas. Dalam jangka masa panjang, perkhidmatan awam mungkin menjadi kurang menarik sebagai pilihan kerjaya untuk rakyat Malaysia dan lebih ramai akan meninggalkan perkhidmatan awam untuk sektor swasta atau negara lain. Keberkesanan perkhidmatan kesihatan Malaysia akan terjejas, dan ini pastinya mempengaruhi mutu penjagaan kesihatan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mengembalikan semula Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal untuk kesemua lima kategori profesional kesihatan. Pertama sekali, perkhidmatan kesihatan adalah profesion kritikal. Oleh itu, pampasan yang adil perlu setara untuk profesional kesihatan yang diharapkan memberi perkhidmatan yang serupa dalam gred perkhidmatan yang sama. BIPK boleh mencecah 15-25% daripada jumlah gaji bulanan dan memberi kesan besar terutama dengan kos hidup yang semakin meningkat. Jika rakyat Malaysia menginginkan penjagaan kesihatan yang bermutu tinggi, maka kita mesti membantu ahli profesional kesihatan kita untuk menjaga keluarga mereka sendiri dahulu. Kita tidak patut mengambil mudah perkhidmatan dan pengorbanan mereka kerana mereka juga manusia dan warganegara dengan hak, emosi dan keperluan peribadi.

Kedua, semangat dan martabat profesion kesihatan mesti dipelihara. Sekiranya kita mengisytiharkan bahawa sektor kesihatan adalah tidak kritikal, ini adalah isyarat bahawa kesihatan tidak penting dan mungkin mengurangkan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan kesihatan. Ini juga boleh menjejaskan kedudukan dan semangat golongan profesion kesihatan, atau memberi isyarat kepada golongan muda Malaysia bahawa sektor kesihatan tidak mempunyai daya maju. Pampasan kewangan dalam perkhidmatan awam telah pun ketinggalan berbanding sektor swasta. Oleh itu, sokongan moral kerajaan sangat penting pada ketika ini.

Ketiga, kita mesti bekerja keras untuk menarik dan mengekalkan bakat dalam perkhidmatan kesihatan awam kita. Sektor kesihatan swasta di Malaysia dan antarabangsa akan membayar gaji yang lebih lumayan daripada sektor awam kita, walaupun termasuk BIPK. Oleh itu, kenaikan gaji untuk profesional kesihatan adalah arah yang betul. Perkhidmatan kesihatan awam Malaysia tidak boleh kehilangan modal insan yang merupakan hasil pelaburan kita, terutama sekali kepada negara-negara lain.

Akhir sekali, kami ingin meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan awam. Perkhidmatan awam tidak dapat memberikan penjagaan yang berkesan jika profesional kesihatan tidak diberi pampasan yang adil, bersemangat rendah, diganggu oleh komitmen kewangan mereka, atau meninggalkan perkhidmatan awam. Ini mempunyai akibat negatif untuk keberkesanan perkhidmatan kesihatan rakyat negara ini.

Sebagai warganegara, profesional dan rakan kongsi yang bertanggungjawab, kami akan meneruskan perkhidmatan kami dengan semangat. Walaupun kami menyedari isu-isu makro-ekonomi yang lebih meluas seperti kemampanan fiskal, kami ingin mengetengahkan pertimbangan di atas kerana kami ingin terus menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi kepada rakyat Malaysia.

Kesihatan adalah perkhidmatan kritikal untuk Malaysia, dan tahap kesihatan yang lebih tinggi akan membawa kemajuan sosial dan ekonomi. Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mengembalikan semula Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal untuk kesemua lima kategori profesional kesihatan, sebagai satu lagi langkah untuk menyampaikan penjagaan kesihatan kepada semua rakyat Malaysia.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Diterajui Oleh,
Dr Khor Swee Kheng (Blavatnik School of Government, Universiti Oxford)

Ditandatangani Oleh,
En Amrahi Buang (Presiden, Persatuan Farmasi Malaysia)
Dr Ganabaskaran Nadason (Presiden, Persatuan Perubatan Malaysia)
Dr Leong Kei Joe (President, Persatuan Pergigian Malaysia)
Haji Mustafa Abd Majid (Presiden, Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia)
Pn Sharipah Asiah Syed Junid Aljunid (Presiden, Persatuan Jururawat Malaysia)

28 Disember 2019

——————————————————

Nota: Pembantu Perubatan adalah nama profesion manakala Penolong Pegawai Perubatan adalah gelaran jawatan yg diguna pakai oleh ahli profesion ini di dlm Perkhidmatan Awam khususnya di KKM, ATM dll. Akta yg mengawal selia amalan Pembantu Perubatan (Penolong Pegawai Perubatan) adalah Akta 180, Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977. Oleh kerana penggunaan nama profesion ini masih tdk diubah di dlm Akta maka nama Pembantu Perubatan masih kekal untuk digunapakai.

AMIN ZAFRI ABD RAHMAN
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN PEMBANTU PERUBATAN MALAYSIA
www.pppmalaysia.com

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.