Putrajaya, 3 Jan: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang tadi.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang beliau sifatkan sebagai seorang ayahanda.
“Saya dengan hati yang reda, dengan nasihat dari perdana menteri, saya Maszlee Malik dengan ini memulangkan jawatan saya sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa 3 Januari,” – Dr Maszlee
Terdahulu beliau menggariskan pencapaian yang telah dilakukannya sepanjang 20 bulan menjawat jawatan tersebut.
Beliau juga menyatakan kekesalan kerana prestasi beliau tidak dilihat berdasarkan pencapaian yang telah berjaya dilakukan, sebaliknya kerana beberapa isu kontroversi.
Perdana menteri, Tun Dr Mahathir dijangka akan melakukan rombakan kecil kabinet beliau bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Maszlee.
Maszlee, mantan pensyarah dilantik sebagai menteri pendidikan pada 21 May selepas pengumuman Dr Mahathir melantik dirinya sebagai menteri pendidikan mendapat tentangan pelbagai pihak.
Maszlee juga merupakan ahli parlimen Simpang Renggam dan ahli majlis tertinggi Bersatu.
Beliau dikritik oleh pebagai pihak dalam pelbagai isu sejak menjawat jawatan menteri pendidikan di antaranya mengenai UEC, pengajaran Jawi di sekolah vernakular dan yang terkini mengenai soalan kontroversi di satu universiti yang menyentuh isu sensitif . -Buletin TTKM-