Sah! Adun Bersatu, pegawai menteri ditahan dalam parti d@dah

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, mengesahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ditahan polis seperti tular menerusi media sosial sejak pagi tadi.

Menurut laporan Berita Harian, yang memetik beliau sebagai berkata, ADUN itu ditahan polis kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, Abdul Rashid yang juga Naib Presiden BERSATU, tidak mahu mengulas lanjut mengenai penahanan itu berikutan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Beliau berkata, walaupun ADUN itu tidak menghubunginya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila beliau menghubungi mereka.

“Kami sedang menunggu apa hasil siasatan kes ini. Saya juga sudah berbincang dengan Presiden Parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam dan kami perlu menunggu siasatan polis.

“Apa hasil siasatan itu saya tidak tahu tetapi jika ada kes, tiada sesiapa melebihi undang-undang. Saya juga tidak tahu sama ada beliau kini berada di rumah atau di balai polis,”  – Abdul Rashid 

Abdul Rashid berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sangat tegas dalam isu disiplin wakil rakyat dan jika didapati ADUN itu melakukan kesalahan, beliau perlu berdepan dengan tindakan.

Pada masa sama, Abdul Rashid turut menasihatkan semua wakil rakyat BERSATU untuk tidak terbabit dengan jenayah dadah dan jenayah lain.

“Anda mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan, beri tumpuan kepada tanggungjawab anda kerana anda dipilih oleh rakyat.

“Jadi anda perlu berkhidmat untuk rakyat, itu tugas anda dan tidak melakukan apa-apa kesalahan,” – Abdul Rashid 

Terdahulu, media melaporkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan empat pegawai khas ahli politik, ahli perniagaan, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi, semalam.

Mereka yang berusia antara 26 hingga 53 tahun, termasuk enam wanita itu ditahan pada jam 4.45 petang di sebuah kondominium di Jalan Puchong, di sini.

Menurut sumber yang enggan dinyatakan Berita Harian, penahanan itu berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah parti persendirian di kondominium terbabit.

“Hasil siasatan lanjut, polis turut menemukan serbuk dipercayai d@dah dan rokok dipercayai berisi g@nja.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif,” katanya sambil menjelaskan ADUN terbabit kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Pada perkembangan yang sama, FMT melaporkan Syed Saddiq akan menggantung pegawainya yang turut ditahan dalam operasi tersebut sementara menanti siasatan dimuktamadkan.

Beliau turut menegaskan semua orang tanpa mengira jawatan dan status tertakluk kepada undang-undang,

“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak mengikut prinsip ‘Kedaulatan Undang-undang’,” – Syed Saddiq

Sementara itu, Sinar Harian pula melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan beliau ditahan polis membabitkan kes d@dah di sebuah pusat hiburan semalam.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.