Kenyataan Akhbar KPK 14 Januari 2020 – Situasi Semasa Kejadian Jangkitan Influenza di Malaysia
Untuk makluman, analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI) daripada lokasi-lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember 2019. Peningkatan ini dikesan di negeri Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak. Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan, namun kejadian-kejadian wabak tersebut adalah dalam keadaan terkawal.
Survelan influenza makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza dalam persekitaran. Tiadasebarang kelainan atau perubahan/mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini. Aktiviti influenza ini juga adalah sama seperti aktiviti influenza yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara-negara tropika yang lain dalam Rantau Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Secara umumnya, penyakit influenza merupakan jangkitan oleh virus influenza yang menyebabkan gejala seperti demam selesema atau flu, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Jangkitan influenza mudah menular, terutama di tempat-tempat tumpuan orang awam seperti sekolah, asrama, institusi latihan dan kem. Kebanyakan pesakit influenza mengalami gejala ringan dan sembuh tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan gejala yang teruk atau komplikasi jangkitan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain.
Virus influenza disebarkan melalui udara apabila seseorang yang dijangkiti influenza bersin atau batuk. Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan pada permukaan-permukaan yang tercemar. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
- Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi;
- Kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun, atau hand sanitizer;
- Mengamalkan adab batuk / bersin yang baik;
- Tidak bergaul dengan orang yang bergejala flu; dan
- Sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.
Selain itu, mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak mengunjungi tempat-tempat tumpuan awam atau tidak bertemu dengan orang lain. Sekiranya perlu bertemu dengan orang lain, pakai penutup mulut dan hidung (face mask). Pemakaian surgical mask atau 3-ply mask dengan cara yang betul adalah memadai untuk mengelakkan penularan virus. Orang ramai dinasihatkan agar mendapat rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk.
KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan jangkitan influenza di sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak dapat dicegah dan dikawal. Sesi perjumpaan townhall sedang dirancang bagi memastikan kesedaran jangkitan influenza dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan dapat diambil secara berkesan. Perkongsian maklumat antara agensi juga diperkukuhkan.
KKM juga ingin menasihati orang ramai dan pihak media agar sentiasa mendapatkan informasi terkini dan sahih mengenai situasi jangkitan influenza melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sekian, terima kasih.