Kekalahan Warisan di Kimanis sebab undi protes PSS – Ilham Centre

Siaran Media

PSS MERANAPKAN WARISAN DI KIMANIS

1. Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi P176 Kimanis menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan majoriti lebih besar berbanding yang diperolehi dalam PRU14 lepas.

2. Di pertengahan kempen, Warisan memiliki kelebihan dengan kecenderungan pengundi terhadap mereka yang berstatus parti pemerintah dan parti lokal Sabah.

3. Namun mereka berhadapan dengan isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang bergerak umpama bola salji, semakin membesar dan membesar menghampiri hari pembuangan undi.

4. BN yang dibantu oleh beberapa NGO tempatan memanfaatkan sepenuhnya isu PSS ini untuk membentuk gelombang protes dan penolakan terhadap Warisan.

5. BN berjaya mengheret isu ini hingga ke hari pengundian, sentimen penolakan terhadap PSS begitu hangat di pusat-pusat pembuangan undi, termasuk jadi bahan untuk petugas-petugas BN merayu undi.

6. Walaupun memiliki kelebihan di pertengahan kempen, Warisan tersungkur pada hari penentuan apabila gagal menangani kebimbangan dan ketakutan pengundi terhadap pelaksanaan PSS ini.

7. Hari terakhir penyelidik ILHAM Centre berada di lapangan iaitu pada 14 Januari 2020, kami mengesan lapan peratus pemilih yang mengundi Warisan dalam PRU14 bersedia memberi undi kepada BN dalam PRK ini kerana memprotes isu PSS.

8. Bersandarkan data semasa yang menunjukkan Warisan masih mendahului, kami meramal Warisan mempunyai kelebihan untuk memenangi pertembungan ini. Namun dalam masa sama menjangkakan kelebihan tersebut akan dirampas sekiranya Warisan gagal menangani isu PSS yang membesar umpama bola salji menuju hari pengundian.

9. Situasi tersebut benar-benar berlaku, gelombang PSS tidak terbendung oleh Warisan, tewas dengan majoriti lebih besar kepada BN yang meneruskan rentak kemenangan beberapa siri PRK.

10. Pengundi Kimanis telah memberi isyarat jelas menolak Warisan dengan memilih BN, pilihan mereka perlu dihormati, suara rakyat suara keramat.

11. Kemenangan di Kimanis ini memberi momentum besar kepada BN menuju PRU15 nanti. Setelah Semenanjung dan Sabah, BN hanya perlu berkira-kira menyusun strategi untuk bertapak semula di Sarawak bagi melengkapkan seluruh puzzle mereka.

12. PH yang sedang demam teruk memerlukan ‘turning point’ untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada mereka, sehingga hari ini belum kelihatan tanda-tanda ‘feel good’ yang boleh mengembalikan sokongan yang mereka perolehi dalam PRU14 lepas.

13. Setelah sekian lama ILHAM Centre mengekalkan ketepatan dalam meramal pemenang dalam siri-siri PRK, kami terkhilaf di Kimanis. Sebagai ketua penyelidik, saya mengambil tanggung jawab penuh atas kekhilafan kali pertama ini.

14. Menutup tirai PRK P176 Kimanis, diskusi seharusnya tidak terhenti tentang parti mana yang menang dan parti mana yang kalah, keutamaan seharusnya difokuskan kepada kebajikan dan keperluan rakyat.

15. Tinjauan kami di sana menunjukkan rakyat masih hidup dalam tahap sosio ekonomi (SES) terdesak yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan pihak yang memenangi PRK ini.

16. Sebagai contoh, sampai bila kita hendak melihat sebahagian penduduk Bongawan mengharungi perjalanan yang begitu jauh hanya untuk mengeluarkan duit RM50 kerana mesin ATM tiada di tempat mereka?

17. Kemudahan ATM ini hanyalah satu contoh kecil di celah-celah ribuan lagi isu kebajikan rakyat yang kami temui di Kimanis seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih, jalan berturap dan sebagainya yang perlu diberi perhatian. Rakyat perlu disantuni sepanjang masa dengan jiwa yang luhur, bukan sekadar digula-gulakan sewaktu musim pilihanraya.

18. Sepanjang kempen PRK ini majoriti menteri negeri dan persekutuan datang berkampung di sini, menyantuni pengundi seolah-olah rakyat begitu penting dan berharga. Apakah selepas ini sekali lagi penduduk Kimanis akan ditinggal sepi tanpa sebarang perbezaan berbanding sebelumnya?

19. Menyantuni rakyat secara bermusim sewaktu pilihanraya bukanlah budaya politik matang dalam sebuah negara demokrasi yang bercita-cita ingin mencapai tahap negara maju. Janganlah suatu hari nanti ada rakyat marhain berdoa supaya ada wakil rakyat meninggal sebagai usaha supaya nasib mereka diberi perhatian.

20. Pilihanraya bukan tentang parti politik semata-mata, pilihanraya adalah tentang rakyat. Pilihanraya yang matang seharusnya menyuburkan pohon demokrasi, buahnya yang sedap seharusnya dinikmati oleh rakyat, anak semua bangsa.

Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ketua Penyelidik ILHAM Centre
18 Januari 2020

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.