“Lanjutkan tol 20 tahun rakyat menang 3 kali” – Tony Pua

KUALA LUMPUR, MAY 6 2019 - POLITICAL SECRETARY TO THE MINISTER OF FINANCE YB TONY PUA. PHOTO BY SHAHRIN YAHYA

Oleh : Tony Pua

Kenyataan media YB Tony Pua, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan
dan Ahli Parlimen Damansara, pada Rabu 22hb Januari 2020 di Kuala Lumpur
Dato’ Seri Najib Razak kini rajin memutar-belitkan isu lebuhraya bertol kerana
apa yang BN telah gagal capai selama ini akan ditunaikan oleh Kerajaan
Pakatan Harapan.

Nampaknya bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sudah pening dan hilang akal
memikirkan bagaimana nak pertahankan dasar lebuh raya bertol kerajaan BN yang
menganiayai rakyat.
Biar saya ingatkan beliau mengenai dasar lebuhraya PLUS bawah kerajaan BN:

(i) Pada tahun 1999, tempoh konsesi lebuhraya PLUS dilanjutkan selama 12 tahun dari
2018 sehingga 2030 dengan peningkatan kadar tol 26% setiap 3-5 tahun sehingga
tahun 2016.(ii) Pada tahun 2005, tempoh konsesi lebuhraya PLUS telah dilanjutkan sekali lagi selama 8 tahun dari 2030 sehingga 2038, di mana kadar tol akan meningkat 10% setiap 3 tahun.

(iii) Pada tahun 2011, kadar tol lebuhraya PLUS distruktur semula supaya kadar tol
meningkat 5% setiap 3 tahun, manakala kesemua konsesi lebuhraya lain bawah
kumpulan PLUS iaitu, Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Jambatan
Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), Lebuhraya Laluan Kedua Johor-
Singapura (LINKEDUA) dan Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) – dilanjutkan
sehingga tahun 2038 dan juga dikenakan jadual kenaikan masing-masing.
Bawah Kerajaan BN, walaupun konsesi dilanjutkan beberapa kali, tidak pernah sekali pun kadar tol menurun, malah kadar tol masih akan meningkat setiap 3 tahun mengikut perjanjian konsesi.

Walaupun pengguna PLUS ada kalanya tidak dikenakan kenaikan kadar tol, tetapi Kerajaan masih perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi mengikut perjanjian yang dirunding oleh BN. Pada zaman BN, pampasan melebihi RM3 bilion terpaksa dibayar oleh Kerajaan kepada pihak konsesi untuk membekukan kadar tol.
Sebaliknya, dengan penstrukturan yang baharu daripada Kerajaan Pakatan Harapan, rakyat akan menikmati pengurangan tol untuk kali pertama dalam sejarah lebuhraya PLUS, iaitu diskaun 18% daripada kadar semasa.

Tambahan lagi, kadar ini tidak akan lagi meningkat mengikut perjanjian sehingga tamatnya konsesi, tak seperti semasa zaman BN di mana kadar tol akan meningkat sekurang-kurangnya 5% setiap 3 tahun mengikut perjanjian konsesi.

Sebagai contoh, kadar tol bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Alor Setar akan masih kekal pada RM45.50 pada tahun 2038 berbanding dengan formula Najib Razak iaitu RM82.00 pada tahun yang sama. Ini merupakan pengurangan sebesar 44.5%.
Dengan penstrukturan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan PH, kadar tol akan dibekukan sepanjang konsesi dengan diskaun 18% tanpa memerlukan 1 sen pampasan pun daripada pihak Kerajaan.

Ini bermaksud pampasan sebanyak RM26 bilion dapat dijimatkan oleh Kerajaan PH sepanjang konsesi berbanding dengan kadar tol zaman Najib. Jumlah yang besar ini akan diperuntukkan kepada rakyat serata Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kebajikan dan pembangunan ekonomi, dan bukannya kepada syarikat lebuhraya bertol.

Malah, pemansuhan kutipan tol di 3 plaza tol PLUS mulai 2018 yang sering diungkit oleh bekas Perdana Menteri sebagai “pencapaian” beliau pula telah mengikat Kerajaan dengan bayaran pampasan sebanyak RM856 juta yang masih terhutang kepada PLUS.
Nasib baik dengan pelan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, ‘hutang’ ini daripada Kerajaan kepada PLUS akan dilupuskan dan tidak perlu lagi dibayar. Ini secara langsung membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan semula jumlah ini kepada lain-lain perbelanjaan yang lebih memanfaatkan rakyat seluruh Malaysia.

Secara jelas, Najib telah gagal menunaikan janji manifesto BN pada tahun 2013 untuk
mengurangkan kadar tol. Saya ingin memperingatkan beliau bahawa BN telah menaikkan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya lain pada tahun 2015.
Sekarang Najib pening dan gelisah kerana Kerajaan PH berjaya mencapai “triple win” di mana

(i) pengguna lebuhraya akan menikmati diskaun tol sebanyak 18% dengan tiadanya
peningkatan kadar tol selama-lamanya;

(ii) rakyat seluruh negara akan menerima manfaat bernilai melebihi RM26 bilion dengan penjimatan pampasan yang tidak lagi perlu dibayar oleh Kerajaan kepada PLUS,
(iii) manakala pada masa yang sama, hak dan kepentingan pemegang saham syarikat
PLUS – Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja – tidak terjejas.

Ini bermaksud nilai aset PLUS tidak akan merosot dalam penstrukturan ini, dan
bayaran dividen dari KWSP kepada pihak pekerja Malaysia tidak akan terjejas.
Tony Pua


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version