Sungai Buloh 25 Jan: Menteri Kesihatan, Dr Dzul hari ini mengesahkan 3 dari 8 pelancong China yang menetap di satu hotel di Johor positif novel coronavirus import atau lebih dikenali sebagai virus Wuhan.
Tiga yang sah positif itu kini diasingkan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh bersama seorang lagi ahli keluarga yang ingin menemani mereka.
Untuk rekod, pelancong China ini ada hubungan rapat (close contact) dengan pesakit sah positif yang kini di hospital Singapura yang sebelum itu berlepas dari Guangzhou ke Singapura.
Seorang merupakan isteri kepada pesakit yang kini dirawat di hospital Singapura tersebut manakala dua lagi merupakan cucu beliau.
Dari Singapura, mereka singgah ke Johor untuk melancong.
Kementerian Kesihatan kemudian mengasingkan mereka di hotel yang didiami.
Malam tadi, sampel darah 8 pelancong China itu tiba untuk ujian di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) lebih kurang jam 8 malam.
Dr Dzul mengumumkan keputusan sampel darah tersebut pagi tadi.
“Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan) Sungai Buloh.
“Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.
“Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama di Singapura.
“Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV,” – Dr Dzul
– Buletin TTKM-
Video ehsan TV3: