KES KEEMPAT CORONAVIRUS DIKESAN DI JB

Kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai pengesanan satu (1) lagi kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV). Kes ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga (3) kes positif yang telah dilaporkan pada awal hari ini.

Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Kes tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura. Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya; yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

Kes mula mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran. Beliau seterusnya telah dirujuk oleh pihak hospital swasta tersebut untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Pada petang 25 Januari 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.

Pada ketika ini kes masih demam dan batuk, namun beliau berada dalam keadaan stabil. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang sama yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

25 Januari 2020

– Buletin TTKM –Langkah lindungi diri

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.