PPSMI PERJUD1KAN MASA DEPAN ANAK LUAR BANDAR

Oleh : Ismail Sabri Yaakob

Selaku Ketua Pembangkang, saya ingin lahirkan kekecewaan atas keputusan yang dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Menteri Pendidikan yang mahu mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ianya merupakan satu keputusan yang tidak mengambil kira pelbagai faktor termasuk lapisan masyarakat terutamanya pelajar luar bandar.

Ketika PPSMI dijalankan pada 2003 hingga 2010, sebanyak 80% kemerosotan pembelajaran di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hingga kerajaan terpaksa membatalkannya pada tahun 2011.

Pelajar luar bandar terutamanya pelajar dari kaum Orang Asli menghadapi kesukaran yang besar dari pelaksanaan PPSMI, kerana keterbatasan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan harian mereka.

Kerajaan perlu mengkaji kemampuan guru di sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan menguasai Bahasa Inggeris sebelum mengajar Matematik dan Sains terutamanya di luar bandar. Dahulu terdapat satu isu yang besar iaitu ketidakmampuan guru di luar bandar mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris serta faktor-faktor kekurangan infra dan peralatan pembelajaran.

Sepatutnya kerajaan menyediakan guru yang berkemahiran dan berkemampuan berbahasa Inggeris terlebih dahulu serta penyediaan infra dan peralatan sebelum mengumumkan perlaksanaanya.

Alasan bahawa negara tidak maju dan pelajar tidak mampu bersaing jika pembelajaran Matematik dan Sains diteruskan dalam Bahasa Melayu adalah alasan yang amat dangkal. Kini pelajar-pelajar cemerlang sama ada dalam atau luar negara adalah mereka yang mendapat pendidikan subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu.

Syarat untuk menjadi negara maju bukan disebabkan Bahasa Inggeris semata-mata kerana negara yang berjaya dalam bidang yang ada kaitan dengan Matematik dan Sains bukan negara berbahasa Inggeris iaitu seperti negara Jepun, Korea Selatan, China, German, Perancis, Itali dan lain-lain. Negara-negara ini tetap menggunakan bahasa ibunda mereka namun berjaya di dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan subjek Matematik dan Sains. Malah negara kita juga ada menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke negara bukan berbahasa Inggeris seperti yang saya sebutkan di atas. Sebagai contoh, jika kita menghantar pelajar kita ke Jepun, walaupun di negara kita mengajar di dalam Bahasa Inggeris namun pelajar kita terpaksa mengikuti kursus Bahasa Jepun dan belajar di Jepun di dalam bahasa Jepun. Maka, apa maknanya jika pelajar kita belajar di dalam Bahasa Inggeris di Malaysia, tetapi akhirnya apabila ke luar negara, pelajar kita perlu mengikuti kursus bahasa ibunda negara tersebut?

Saya berpendapat jika kita mahu pelajar kita menguasai Bahasa Inggeris, maka silibus Bahasa Inggeris tersebut yang perlu ditambah baik dari segi cara pembelajaran, menambahkan waktu belajar atau perkara-perkara lain yang difikir terbaik.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengkaji dahulu pelaksanaan ini sebelum memulakan, dengan mengambil kira data kemerosatan serta kepeluan pelajar luar bandar yang mempunyai sumber pembelajaran Bahasa Inggeris yang terhad.

Janganlah pula kerana mengejar untuk pemerkasaan kumpulan elit, anak luar bandar dilupakan.

Inilah kerajaan yang seringkali mengabaikan kumpulan luar bandar dan gagal melakukan dasar serta keputusan yang adil dan setara untuk masyarakat luar bandar.

Saya harap Perdana Menteri mengkaji semula dan menggugurkan cadangan beliau untuk pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

Cukup-cukup lah memperjud1kan masa depan anak-anak luar bandar.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM. Penulis merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dan
Naib Presiden UMNO Malaysia – Editor.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.