“Kerajaan kesal Sajad bertelekung di Tanah Suci” – Mujahid

PUTRAJAYA 3 Feb- Kerajaan kesal dengan tindakan ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzaman dan rakan-rakan yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.

Sinar Harian memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebagai berkata, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.

“Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan,” – Mujahid

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi townhall Maqasid Syariah di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya agensi pelancongan yang membawa Muhammad Sajad,35, sepatutnya sedia maklum dengan status lelaki itu.

Sementara itu, agensi pelancongan terbabit, Albayt Travel (M) Sdn Bhd  sudah mengambil tindakan susulan dan nasihat melalui Mutawwif yang bertugas di Makkah.

Albayt Travel dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi berkata, pihaknya juga sudah merujuk insiden Nur Sajat memakai pakaian wanita dan bertelekung itu kepada pihak Konsolat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, syarikat mereka memiliki lesen pengenalan pakej pelancongan membabitkan dalam dan luar negara termasuk pakej umrah.

“Kumpulan umrah khas oleh keluarga Nur Sajat dan rakan perniagaannya itu disertai sembilan orang iaitu tujuh dewasa dan dua kanak-kanak bersama seorang Mutawwif bermula 28 Januari lalu hingga 7 Februari ini.

“Lokasi kembara adalah Madinah, Makkah dan Jeddah menggunakan visa pelancong,”

Menurutnya, dari peringkat awal pendaftaran kumpulan itu, Albayt sudah memaklumkan kepada pihak pelanggan terdapatnya perbezaan pengurusan dan tatacara hukum hakam ibadah umrah serta ziarah sepanjang trip mereka.

“Pihak pelanggan mengakui faham akan hal itu berikutan status jantina yang mungkin akan menyentuh sensitiviti ramai dalam kalangan masyarakat Muslim.

“Oleh itu, pihak Albayt mengambil langkah yang penuh berhati-hati bermula penyusunan dokumen untuk pemprosesan visa, kursus pemantapan umrah khas dan sehinggalah soal yang menyentuh perihal ibadah sepanjang berada di sana (Makkah),” 

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut menitikberatkan kepada pelanggan adalah supaya tidak mempublisitikan percutian ibadah umrah mereka kepada umum melalui mana-mana saluran media berikutan kekhuatiran pihaknya, mungkin akan menyebabkan timbul ketidakselesaan segelintir dari masyarakat Muslim.

“Atas nasihat awal Albayt itu, pihak pelanggan bersetuju untuk mematuhi serta menghormati pandangan umum dengan tidak sesekali memaparkan sebarang bentuk visual kepada khalayak umum berkaitan hal yang boleh menyebabkan berlakunya salah tafsir.

“Namun apa yang terjadi ini adalah di luar jangkaan kami dan mengharapkan semua pihak jelas akan hal ini,”

Sejak semalam, gambar dan video Muhammad Sajad bertelekung di tanah suci menjadi perbualan hangat netizen yang rata-ratanya mengkritik tindakan beliau.

Ini kerana sebelum beliau berlepas ke tanah suci, beberapa gambar  Muhammad Sajad berpakaian umrah lelaki tular di media sosial.

Sementara itu, tular satu status dari facebooker bernama Nurnilam Sari yang mendakwa Sajad telah ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan manakala status tersebut telah dipadam

Buletin TTKM sudah menghubungi kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan kini menanti jawapan dari pihak terbabit.  – Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.