WARKAH TERBUKA BUAT MAJLIS TERTINGGI UMNO

Oleh : Abdul Rahim Hilmi Zakaria

Tuan-tuan yang dihormati,

Biarlah saya berterus terang. Ada banyak sebab kenapa saya tidak boleh terima pembentukan kerajaan Mahathir – Muafakat Nasional. Saya tiada masalah jika kita memilih untuk menyokong Mahathir mengekalkan jawatannya sehingga habis penggal. Tetapi menadah belas ihsan untuk secangkir kuasa adalah kebodohan yang akan membunuh sejarah politik umat Melayu dan Islam

Pertama, ia akan menjadikan DAP (dan Amanah) terus relevan. 2 tahun pertama PH adalah bukti berangkai jelas yang menonjolkan kelemahan dan kebobrokan dua parti ini ketika menjadi kerajaan. Tetapi memilih untuk menyingkirkan kedua ini daripada kuasa melalui jalan belakang hanya akan membolehkan mereka untuk ‘play victim’.

Dan simpati rakyat ini akan menenggelamkan segala kesalahan dan dosa mereka kepada institusi agama, Tabung Haji, umat Islam dan negara.

Saya bagi contoh kerajaan Perak 2008-2009. Ya, DAP sememangnya melakukan kecurangan besar ketika memerintah Perak ketika itu. Tetapi tindakan BN menumbangkan kerajaan mereka pada Februari 2009 melalui pintu belakang menyebabkan parti itu menjadi terus relevan. Akhirnya DAP konsisten memiliki kerusi terbanyak pada dua siri pilihanraya umum seterusnya.

Tuan-tuan yang dihormati,

Benar kewujudan DAP hari ini akan menjahanamkan ekonomi negara. Tetapi yang merosakkan ekonomi hari ini bukan DAP sahaja. Yang merosakkannya adalah seluruh kepimpinan kerajaan pusat.

Dasar neo liberalism Tun Mahathir yang tidak menyantuni bantuan kepada rakyat adalah punca aliran tunai negara terganggu. Kecetekan Mahathir di pentas diplomasi dunia adalah sebab kenapa kita dipinggirkan daripada pelaburan antarabangsa.

Dan sebahagian besar aset-aset negara yang terjual juga adalah di bawah kawalan Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Kerosakan daripada DAP adalah benar. Tetapi kerosakan gandingan Mahathir-Azmin ini tidak kurang buruknya

Tuan-tuan yang dihormati,

Benar ajaran dan tindak-tanduk DAP adalah katalis kebiadapan segelintir rakyat kepada Raja-Raja Melayu. Tetapi saya nak tanya, apakah cabaran paling besar dihadapi oleh Raja-Raja Melayu selepas PH memerintah?

Jawapannya Statute Rome. Dan bukankah selain DAP, Mahathir juga yang bersungguh mahu meratifikasikan perjanjian ini? Sehinggakan apabila keputusan itu ditarik balik kesan protes raja-raja, dia merajuk dan menuduh wujudnya deep state yang cuba menggulingkan kerajaannya?

Jadi apa yang perlu dilakukan?

Cukuplah dengan tuan-tuan menyokong Mahathir menghabiskan penggal ini sebagai Perdana Menteri. Jika sekiranya DAP, PKR dan Amanah memprotes – keluar daripada kerajaan andaikata peralihan kuasa tidak berlaku, maka biarkan Mahathir memerintah dengan kerajaan minoriti. Ia tidak salah dari segi perlembagaan.

Ia juga pernah berlaku. Tan Sri Khalid Ibrahim contohnya pernah memerintah Selangor dengan bantuan 4 Exco PAS dan sokongan UMNO Negeri apabila Adun-Adun PKR dan DAP berpaling tadah daripadanya 5 tahun dahulu

Apakah ketika itu UMNO menyertai kerajaan Selangor? Tidak.

Apakah ketika itu kerajaan Selangor berfungsi? Ya.

Jadi apa masalahnya?

Tuan-tuan yang dihormati,

Benar membiarkan DAP berpaut kepada kuasa akan membuka ruang untuk lebih banyak cabaran dan ancaman yang akan terjadi kepada umat dan negara. Tetapi bukankah sepanjang 2 tahun ini kita bersama sama telah berjaya menghalangnya walaupun mungkin tidak semua?

Bukankah suara kita yang mematikan ICERD?

Bukankah desakan kita yang membunuh Statue Rome?

Bukankah teriakan kita yang berjaya mempertahankan subsidi haji kepada umat?

Dan bukankah ini tanggungjawab tuan-tuan sebagai pemimpin yang dipilih?

Tuan-tuan yang dihormati,

Menyertai sebuah kerajaan yang lemah melalui pintu belakang hanya akan menjadikan kerajaan itu tidak dihormati. Tuan-tuan juga akan terpaksa menanggung segala liabiliti yang telah dibuat oleh kerajaan hari ini.

Kuatkah bahu tuan-tuan untuk menampung beban sebegitu rupa? Sedangkan mereka yang ketika itu telah tersingkir boleh berlepas diri menjaja simpati kepada rakyat jelata. Dan akhirnya membolehkan mereka memperoleh kuasa semula pada pilihanraya seterusnya.

Dan tidakkah tuan-tuan terfikir, bahawa tawaran itu mungkin sekadar untuk Mahathir mencipta ‘leverage’ sebagai imbangan tawar-menawar apabila beliau berhadapan tekanan sekutunya nanti?

Jika orang berhati kering seperti ini boleh memungkiri perjanjian dengan rakannya, maka apa jaminan dia tidak akan mengkhianati persetujuan yang akan diikrarkannya kepada tuan-tuan nanti?

Saya bagitahu begini sajalah. Mahathir hanya perlukan ahli parlimen untuk terus berkuasa. Maka mana-mana ahli parlimen UMNO yang mahu bersamanya, maka silakan keluar dengan segera. UMNO tidak akan rugi apa-apa

Kerana UMNO ini wujud dengan aspirasi dan tinta semangat rakyat jelata. UMNO tidak pernah dibina dengan tiang kuasa.

Keluarlah. Dan biarkan kami menanda semula sejarah perjuangan ini dengan darah dan air mata kami sendiri.

HidupBermaruahAtauMatiMelawan


Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Seberang Takir, Kuala Terengganu

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.