Setuju tubuh Pakatan Nasional dedah pengkhianat dalam PH – AMK Sabah

Oleh : RAZEEF RAKIMIN

Saya taknak ulas panjang berkenaan dakwaan beberapa pihak bahawa Tun M, UMNO, PAS, Kartel serta beberapa kumpulan lagi berunding secara sulit untuk menubuhkan Pakatan Nasional kerana ia mungkin cara pembangkang untuk melagakan dan memecah belahkan lagi Pakatan Harapan.

Sehingga hari ini pun penyokong komponen Pakatan Harapan bertelagah sesama sendiri terutama berkenaan isu peralihan kuasa yang mana majoriti khuatir Tun M akan mungkir pada janji. Maka setakat ini saya melihat isu pembentukan Pakatan Nasional ini hanya untuk menyimbah minyak ke api kemarahan penyokong Pakatan Harapan yang tidak berpuas hati kepada Tun M.

Mereka cuba menanam di fikiran penyokong Pakatan Harapan bahawa Tun M sedang berusaha menubuhkan Pakatan baru bagi menggagalkan pelan peralihan kuasa.

Namun jika benar pembentukan Pakatan Nasional terjadi kita bakal menyaksikan kejatuhan kerajaan yang hanya berkuasa separuh penggal pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti.

Rakyat telah menolak UMNO dan PAS serta komponen Barisan Nasional lain pada PRU-14 lalu dan mustahil rakyat akan memberikan kepercayaan kepada BN, PAS untuk mentadbir negara lagi. Begitu juga mereka-mereka yang mengkhianati mandat rakyat dengan bergabung dengan mereka yang telah ditolak rakyat hanya kerana ingin kekal berkuasa. Sudah tentu selepas PRU-15 pengkhianat ini takkan berada di takhta lagi.

Jika mereka ingin menjadi pembangkang selepas PRU-15, maka cuba la membentuk Pakatan Nasional. Dengan alasan ingin bergabung demi Melayu kan maka Pakatan Nasional tidak ada beza dengan Barisan Nasional yang ditolak rakyat. Dan saya berani berkata rakyat Sabah dan Sarawak akan ‘kubur’ Pakatan Nasional dan begitu juga kaum lain di Semenanjung Malaysia.

Rakyat akan tunjuk ini negara Malaysia, bukan negara Melayu semata. Malaysia yang mempunyai ratusan kaum dan bukan hanya Melayu.

Itu jika penggabungan Pakatan Nasional ini benar terjadi. Jika penggabungan Tun M dengan UMNO, PAS, Kartel serta beberapa pihak lain ini tidak berjaya, kita sudah kenal “sahabat” di sekeliling kita yang dengan terbuka telah menyatakan bersedia untuk mengkhianati Pakatan Harapan. Kita sudah nampak bagaimana dengan gelojoh mereka menyokong pembentukan Pakatan Nasional sedangkan mereka berada dalam Pakatan Harapan. Kita sudah kenal mereka yang mempunyai ‘agenda peribadi’.

Tolak pengkhianat.

RAZEEF RAKIMIN
Ketua Penerangan AMK Sabah
Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah
05.02.2020


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM. – Editor

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.