Operasi hotel-hotel TH diteruskan bawah pengurusan baharu- TH

SIARAN AKHBAR

OPERASI RANGKAIAN HOTEL TABUNG HAJI DITERUSKAN DI BAWAH PENGURUSAN UJ PROPERTY MANAGEMENT SDN BHD

Kakitangan THHR kekal di bawah pengurusan baharu
KUALA LUMPUR, 18 Februari 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) ingin memaklumkan bahawa operasi di hotel-hotel yang telah dipindah milik daripada TH kepada UJ – TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu akan diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).
UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel tersebut yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020. Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan. UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini.
Penubuhan UJPM ini merupakan salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.
Operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April 2020. UJ juga telah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung. UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji.

 

Untuk makluman, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan. Seramai 90% daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10% kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya. Selain itu, 90% kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR. TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan.
Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH. Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan. UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ.
TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel tersebut. Ini kerana, dari segi asasnya, pihak UJ akan meningkatkan imej hotel-hotel tersebut dari segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan.
UJPM akan diterajui oleh Encik Muhammad Solleh Ramli. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perhotelan. Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yong merupakan syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia. Encik Muhammad Solleh telah memainkan peranan penting di mana beliau telah berjaya meningkatkan prestasi kewangan dan imej syarikat tersebut.
-Tamat-

1

2

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.