Putrajaya, 21 Feb: Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa kerja khas merangkumi polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memburu penyebar berita palsu mulai hari ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin susulan beberapa berita palsu yang disebarkan di media sosial termasuk kononnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat Tabung Haji.
“Kami tidak berdiam diri selepas ini. Polis dan AGC akan tubuhkan jawatankuasa kerja khas cari orang-orang (sebar berita palsu) ini sampai lubang cacing.” – Mohamed Hanipa Maidin
Tambah Hanipa lagi, jawatankuasa kerja khas yang dibentuk itu akan menjadikan kerajaan lebih efektif dalam menangani budaya berita palsu,
“Kami memang mengalu-alukan rakyat guna media sosial untuk kritik kerajaan. Kritik kerajaan boleh. Tapi jangan fitnah dan sebar isu perkauman. Tapi, kami amat sedih ada pihak cuba salah gunakan kebebasan diberikan.
“Selepas ini dengan jawatankuasa kerja khas yang ada kami akan menjadi lebih efektif, akan perang terhadap budaya berita palsu,”- Mohamed Hanipa Maidin
Pada perkembangan yang sama, beliau turut mengesahkan bahawa kerajaan akan ambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu kononnya Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat Tabung Haji.
“Menteri kewangan difitnah pengerusikan mesyuarat Tabung Haji. Tapi, sebenarnya lawatan Mujahid Yusoff Rawa (menteri di Jabatan Perdana Menteri) ke pejabat Kementerian Kewangan berjumpa Guan Eng.
“Tapi, ditularkan kononnya mempengerusikan mesyuarat berkaitan Tabung Haji sehingga timbulkan keresahan di kalangan orang Islam. Akan ada pendakwaan ke atasnya,” – Mohamed Hanipa Maidin
Baru-baru ini, Tabung Haji memindah milik beberapa hotel miliknya kepada syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, dimana menterinya adalah Lim Guan Eng. – Buletin TTKM.