Azam Baki diumumkan ketua SPRM baharu ganti Latheefa Koya

Putrajaya, 9 Mac : Pejabat perdana menteri sebentar tadi mengumumkan pelantikan Datuk Seri Haji Azam Baki,  timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM, sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 9 Mac 2020.

Menerusi satu kenyataan, PMO menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan tersebut selaras dengan subseksyen 5 (1) akta 694.

Pada minggu lalu, Latheefa Beebi Koya meletakkan jawatan beliau dengan alasan mahu  “kembali kepada amalan beliau  sebagai peguam bela hak asasi manusia.”

Sebelum itu, peguam negara Tommy Thomas turut meletakkan jawatan.

Kedua-dua mereka ini merupakan lantikan politik yang dibuat oleh perdana menteri ke 7, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Beberapa minggu lalu, kerajaan pusat Pakatan Harapan tumbang setelah PPBM pimpinan Tan Sri Muhyidin Yasin dan beberapa ahli PKR yang diketuai Azmin Ali keluar dari gabungan tersebut.

Satu gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional dibentuk yang setakat ini dianggotai oleh PPBM, UMNO, MCA, MIC, PAS dan juga GPS. -Buletin TTKM



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: