Kakitangan JKR Malaysia KL sah positif Covid-19

KENYATAAN RASMI JABATAN KERJA RAYA
JKR MALAYSIA SAHKAN KES COVID-19 DI IBU PEJABAT JKR MALAYSIA,
JALAN SULTAN SALAHUDDIN, KUALA LUMPUR
KUALA LUMPUR, 11 Mac 2020: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan bahawa seorang kakitangan JKR Malaysia telah disahkan positif COVID-19 pada 8 Mac 2020 dan telah diisolasikan. Pesakit ini sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menunjukkan reaksi positif atas rawatan yang diberikan. Kontak rapat pegawai yang dikenal pasti juga telah dikuarantin.

Bagi menangani penularan wabak ini, Jabatan telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Untuk makluman, kontak rapat dalam kalangan kakitangan Jabatan dan Kementerian Kerja Raya telah menjalani saringan yang telah diadakan pada 11 Mac 2020 (Rabu). Keputusan saringan akan diperolehi selewat-lewatnya pada 14 Mac 2020 (Sabtu). Walau bagaimanapun, Jabatan ini akan tetap beroperasi seperti biasa. Pegawai yang telah menjalani saringan dibenarkan untuk melaksanakan tugas dari rumah.

Sehubungan itu, warga kerja dinasihat untuk meningkatkan tahap kebersihan dengan kerap mencuci tangan dan menggunakan hand sanitizer. Pegawai yang mengalami simptom awal gejala COVID-19 dinasihat untuk memakai topeng muka, menghindarkan diri dari berada di tempat awam atau program dan membuat pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.

Langkah proaktif telah diambil dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat yang terlibat serta menyediakan hand sanitizer di setiap pintu masuk utama pejabat. Warga kerja diminta untuk merujuk kepada infografik tatacara pencegahan jangkitan COVID-19 di tempat kerja yang telah dimuatnaik di laman sosial rasmi, portal dan emel rasmi JKR Malaysia. Buat masa ini, Jabatan sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha menangani penularan wabak ini.

Jabatan ingin menegaskan bahawa kami sentiasa memantau perkembangan terkini wabak COVID-19 dan akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya. Sebarang kesulitan yang timbul semasa pelaksanaan langkah-langkah pencegahan ini adalah amat dikesali dan pemakluman situasi terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Disediakan oleh,

JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA

11 Mac 2020
4.30 Petang

\



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: