Covid-19 : Seorang positif di Kelantan, 2 ditahan di wad.

KOTA BHARU: Seorang positif, dua ditahan di wad manakala 42 lagi disyaki dijangkiti COVID-19 susulan ujian saringan yang dibuat kepada 132 individu dari negeri ini yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, tiga individu dimasukkan ke Hospital Kuala Krai manakala 42 lagi ditempatkan di Pusat Latihan Tumpat untuk pemeriksaan lanjut, menurut laporan Berita Harian.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kesemua sampel individu berkenaan sudah dihantar ke makmal untuk pengesahan lanjut.

“Jumlah ini adalah sebahagian daripada 132 individu yang tampil secara sukarela melakukan ujian saringan COVID-19 susulan kehadiran mereka di ijtimak tabligh.

“Kita tidak tahu berapa ramai dari Kelantan yang menyertai acara di Petaling Jaya itu, cuma setakat ini 132 hadir untuk pemeriksaan,”  – Datuk Dr Zaini Hussin

Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan menggesa kerjasama daripada kumpulan tabligh di Kelantan yang hadir ke Masjid Seri Petaling supaya hadir saringan di fasiliti berdekatan.

Ketika ini, selain 42 individu terbabit pihaknya turut menempatkan 28 yang lain dengan kebanyakan mereka penduduk luar Kelantan di Pusat Latihan Tumpat untuk pemeriksaan lanjut.

“Hanya kes yang memenuhi kriteria kemasukan ke wad sahaja akan dimasukkan ke sana sementara bagi kes yang bergejala ringan dan tidak bergejala dibenarkan menjalani pengawasan di rumah,” – Datuk Dr Zaini Hussin

Dr Zaini turut menasihatkan orang ramai khususnya yang mengalami gejala seperti batuk, selesema , demam dan sesak nafas supaya berada di rumah selain tidak digalakkan menghadiri tempat tumpuan awam seperti kenduri, pusat membeli-belah dan sebarang perhimpunan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sentiasa memantau situasi kejadian COVID-19 dan orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang dan media sosial Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Setakat ini 10 kes Covid-19 di Malaysia dikaitkan dengan kluster Ijtima Tabligh. iaitu  2 kes di Negeri Sembilan, 3 kes di Sarawak, dan masing-masing 1 kes di Johor, Pahang dan Kelantan. – Buletin TTKM-

6 kes tempatan setakat semalam, grafik oleh Dr Khebir, KKM 
3 Kes di Sarawak. Grafik oleh Jab. Kesihatan Sarawak.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.