July 29, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Kronologi bagaimana Arab Saudi melawan Covid-19

Oleh: Najmi Farisham

Dalam tempoh 3 minggu ini, sangat banyak tindakan drastik yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi dalam usaha membendung ancaman COVID-19 daripada terus merebak. Kami yang menetap di sini setiap hari menerima kejutan demi kejutan. Tak sah hari yang dilalui tanpa adanya arahan baru.

Setelah kes pertama mulai masuk ke Negara Teluk, Arab Saudi seakan sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Pada 27 Februari, mereka bertindak menutup serta merta kemasukan Visa Umrah dan Visa Pelancong ke negara ini. Mereka juga telah memanggil balik kesemua rakyatnya yang berada di luar negara.

Keesokan harinya, Masjidilharam dibersihkan sebersihnya. Ramai pekerja yang dikerahkan untuk turun melakukan kerja-kerja ini. Bermula dari dataran luar masjid, sehinggalah ke dataran Kaabah. Karpet dibasuh lalu disterilkan bagi mencegah jangkitan kuman.

3 Mac – Arab Saudi dikejutkan dengan jangkitan pertama melibatkan rakyat mereka yang baru saja pulang daripada Iran melalui jalan Bahrain.

4 Mac – Kes kedua dicatatkan melibatkan rakyat mereka yang juga baru pulang daripada Iran. Larangan melakukan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi mula berkuatkuasa melibatkan seluruh jemaah termasuklah rakyat dan penduduk mereka sendiri.

5 Mac – Kes ketiga dicatatkan. Dataran Kaabah yang juga dikenali dengan mataf, dikosongkan sepenuhnya. Tong zamzam dan karpet telah diangkut keluar. Pembersihan berskala besar mula digiatkan termasuklah pada Kaabah itu sendiri. Dalam sejarah, tahun 1979 merupakan kali terakhir mataf dikosongkan sekosong-kosongnya. Tiada sesiapa dibenarkan berada di bawah sana.

6 Mac – Seharian Masjidilharam dan Masjid Nabawi sibuk dengan kerja-kerja pembersihan. Malam itu, kami semua dikejutkan dengan arahan baru melibatkan kedua Masjid Suci ini. Banyak kawasan ditutup sepenuhnya termasuklah dataran Kaabah dan Raudhah. Kelas-kelas pengajian talaqqi kitab dan al-Quran dihentikan buat sementara waktu.

Kalian boleh baca di sini untuk lebih lanjut: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3249471121749600&id=100000602310277

7 Mac – Raja Salman menitahkan agar dataran Kaabah dibuka kepada jemaah yang ingin melakukan tawaf sunat. Namun dipasang pagar penghadang bagi menjarakkan jemaah daripada Kaabah. Larangan umrah masih berkuatkuasa.

Arab Saudi bertindak mengetatkan kawalan masuk ke negara ini terutamanya dari Bahrain, UAE dan Kuwait.

8 Mac – Kes meningkat ke angka 11 melibatkan penduduk daerah Qatif. Penduduk sini dikuarintin sepenuhnya bagi mengelakkan tersebarnya wabak bahaya ini ke kawasan lain.

Semua sekolah dan universiti di seluruh Arab Saudi diarahkan tutup serta merta sehingga diberitahu. Namun begitu, Kementerian Pelajaran mencadangkan agar sesi pembelajaran diteruskan secara online.

9 Mac – Kementerian Hal Ehwal Agama mengeluarkan arahan bahawa aktiviti berbuka puasa dihentikan buat sementara waktu. Makanan dan buah tamar dilarang bawa masuk ke masjid. Iktikaf juga tiada. Jarak masa antara azan dan iqamat ditetapkan 10 minit. Khutbah Jumaat dan solat dipendekkan ke 15 minit sahaja.

10 Mac – Kes meningkat ke angka 16. Termasuklah seorang yang merupakan jangkitan pertama di Mekah.

11 Mac – Kes meningkat ke 21 orang. Semua panggung wayang di Arab Saudi diarahkan untuk tutup serta merta.

12 Mac – Majlis Ulamak bersidang dan memutuskan bahawa mereka yang dijangkiti COVID-19 digugurkan kewajipan solat Jumaat dan solat berjemaah yang lain di masjid.

13 Mac – Kes meningkat dan melonjak naik ke angka 62. Semua dewan perkahwinan, rumah tumpangan, hotel dan mana-mana tapak program diarahkan tutup.

Malam 13 Mac, kes terus meningkat ke angka 86.

14 Mac – Semua penerbangan antarabangsa dihentikan selama 2 minggu bagi mengekang wabak ini daripada terus tersebar. Kes juga telah meningkat ke angka 103.

15 Mac – Semua taman permainan kanak-kanak dan rekreasi ditutup serta merta. Restoran dan pusat membeli belah pun menerima arahan yang sama. Hanya kedai runcit dan farmasi sahaja dibenarkan beroperasi. Kementerian Kesihatan juga menasihatkan rakyatnya agar tidak menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan hadirin yang ramai.

16 Mac – Semua penjawat awam agensi kerajaan diberikan cuti selama 16 hari kecuali yang melibatkan sektor kesihatan dan keselamatan.

Boleh dikatakan mereka agak pantas bertindak dalam usaha mengekang wabak bahaya ini dari terus menular luas. Banyak arahan dan peraturan baru yang tidak terjangka dilakukan oleh pihak kerajaan. Insya-Allah saya akan update dari masa ke semasa.

Itulah.

Najmi Farisham,
Wartawan Kegemaran Kalian.

 

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: