Video: Jemaah Tabligh rayu peserta himpunan hubungi KKM, henti sebarang aktiviti.

Kepada semua peserta ijtima tabligh 28 Feb-1 Macc di Masjid Sri Petaling. Pesanan penting oleh Ustaz Mansoor bin Ismail,. Mudir Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling:

Arahan supaya mematuhi keputusan dari pengurusan krisis akibat wabak di Masjid Seri Petaling

Yang dihormati syura dan ahli mesyuarat semua tempat syabguzari yang dimuliakan Allah SWT,

Pihak berkuasa krisis nasional yang terdiri daripada pelbagai jabatan sedang berusaha tanpa mengenal penat
dan lelah dalam menangani krisis wabak yang melanda. Mereka telah mengingatkan kita berulang kali untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam mencegah penularan wabak tersebut.

Kami, pucuk pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia, menekankan sekali lagi kepada semua 28 markaz (tempat syabguzari) seluruh negara supaya mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh dalam bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kerisauan, ketegangan dan tanggapan salah (jika ada) dari mana-mana pihak, baik masyarakat umum mahupun pihak berkuasa, dapat diredakan.

• Semua mereka yang menghadiri Jor Qudama’ dan Ulama’ tempoh hari hendaklah segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing, atau CPRC hotline, untuk mendapatkan bimbingan dan rawatan perubatan

• Semua aktiviti usaha kita yang boleh menimbulkan kerisauan dan penularan wabak tersebut hendaklah  dihentikan serta-merta buat masa ini

• Untuk sepanjang tempoh kuarantin Masjid Sri Petaling, tiada jemaah dibenarkan datang, dan tiada jemaah akan dihantar keluar dari markaz kita sehingga keputusan mesyuarant selanjutnya insyaAllah.

Kami harap semua keputusan ini akan dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Ingatlah bahawa semua ini adalah ujian daripada Allah SWT. InsyaAllah kita ambil peluang ini untuk menghidupkan amalan di rumah masing-masing, banyakkan berdo’a, beristighfar dan menangis kepada Allah
SWT, serta tingkatkan fikir risau umat dalam diri kita.

Semoga Allah SWT memberkati semua usaha kita yang sedikit ini dan menjadikan pengorbanan semua sebagai asbab hidayat seluruh alam hingga kiamat insyaAllah.
Wassalam.

video :

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.