
Putrajaya, 18 Mac: Malaysia mencatatkan 117 kes positif Covid-19 yang baru setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 790 kes.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, daripada 117 kes baru itu, 80 daripadanya adalah berkaitan dengan kluster Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling yang diadakan pada 28 Feb-1 Mac lepas.
Dengan pertambahan ini, jumlah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster itu meningkat kepada 513 kes.
Tambah beliau lagi, 11 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang pulih kepada 60.
Sementara itu, seramai 15 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan
Pada perkembangan yang sama, Adham memaklumkan mengenai pewartaan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, susulan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.
“Peraturan ini menjelaskan perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.
“Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Peraturan-peraturan ini boleh diperolehi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan,” – Dr Adham Baba
Mengenai lawatan ke hospital, Dr Adham berkata sepanjang tempoh ini, tiada pelawat dibenarkan ke wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan.
“Dalam tempoh ini juga, jika diperlukan, hanya seorang peneman dibenarkan semasa temujanji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan,” – Dr Adham Baba
Setakat ini, Malaysia mencatakan dua kemat1an akibat Covid-19, melibatkan seorang paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak, dan seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menyertai perhimpunan Tabligh tersebut.- Buletin TTKM-
Leave a Reply