Kakitangan Hospital Tuanku Fauziah positif Covid-19.

Kangar, 19 Mac: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan bahawa seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis yang positif COVID-19.

Menulis di laman facebooknya, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah, berkata kakitangan itu mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan tiba di tanah air pada 8 Mac 2020.

“Beliau telah dimasukkan ke wad pada 16 Mac 2020, disyaki jangkitan paru-paru (pneumonia) dan dehidrasi. Ujian makmal di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati beliau positif terhadap COVID-19 pada 18 Mac 2020.

Berikutan dengan itu, pihak Hospital telah mengenalpasti kontak-kontak dekat dan menjalankan saringan COVID-19 terhadap mereka serta ahli keluarga terdekat pegawai. Pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan berkaitan juga telah dilakukan.” – Noor Hisham Abdullah,

Bagi memastikan perkhidmatan kepada orang ramai tidak terjejas, Noor Hisham berkata hospital tersebut  telah mengambil beberapa langkah-langkah mitigasi, misalnya menyemak semula jadual klinik susulan, mengemaskini prosedur kemasukan wad dengan memberi keutamaan kepada kes-kes yang perlukan rawatan segera dan beberapa langkah lain.

Selain itu, kerjasama dengan klinik kesihatan dan hospital lain yang berdekatan juga telah dikenalpasti bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan tidak terjejas.

“Semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana pihak HTF telah mengambil langkah- langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang perlu. Masyarakat juga disarankan mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan Hospital dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.”  – Noor Hisham Abdullah,

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.