Covid-19: Agong, Permaisuri dikuarantin, 7 kakitangan istana dijangkiti.

Gambar dari FB Istana Negara.

KUALA LUMPUR. 26 Mac: Yang DiPertuan Agong dan Permaisuri dikuarantin selepas 7 kakitangan Istana Negara didapati positif Covid-19 yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Khamis, 26 Mac berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga telah menjalani ujian Covid-19.

Keputusan ujian didapati negatif.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mengenal pasti punca jangkitan semua kakitangan terbabit.

Beliau berkata, semua langkah yang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sudah dilaksanakan untuk mengenal pasti semua kontak rapat kakitangan terbabit termasuk mengarahkan mereka menjalani saringan COVID-19.

“Untuk memastikan pendedahan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara, semua kontak rapat kakitangan tersebut diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari, bermula semalam,”  – Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik COVID-19 pulih.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini. Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,”  – Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin

-Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.