Berita

PKP Fasa kedua, peraturan lebih ketat.

By Buletin TTKM

March 30, 2020

Kuala Lumpur, 30 Mac:  Perintah Kawalan Pegerakan Fasa Kedua akan dimulakan pada 1 April ini, dengan peraturan lebih ketat untuk mengurangkan pergerakan orang ramai bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Berikut merupakan ringkasan PKP Fasa 2

  1. Waktu operasi pasaraya,  mana-mana premis yang menjual barang keperluan makanan harian atau penghantaran adalah diantara jam 8 pagi hingga jam 8 malam.
  2. Operasi stesen minyak  dihadkan kepada 8 pagi hingga 8 malam.
  3. Orang ramai digalakkan menggunakan pembelian secara atas talian. Penghantar makanan boleh meninggalkan makanan di luar pagar dan kemudian  menghubungi tuan rumah untuk mengambil makanan apabila penghantar makanan tersebut beredar dari rumah tersebut.
  4. Waktu operasi pengangkutan awam dikekalkan dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.
  5. Satu orang untuk satu kenderaan sahaja.
  6. Aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian walaupun dalam ‘gated area’ sekalipun,
  7. Harga siling topeng muka adalah RM1.50.

Berikut merupakan transkrip penuh ucapan Dato Ismail Sabri, Menteri kanan, merangkap Menteri Pertahanan:

Semalam sekali lagi kita membuat keputusan yang besar iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21-24 di Sungai Lui, Hulu Langat Selangor.

PKPD ini PKPD yang kedua kita laksanakan selepas Simpang Renggam di daerah Kluang.

Tindakan ini terpaksa dilakukan kerana terdapat 71 kes positif COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 21. PKPD ini bukan sahaja melibatkan maahad tahfiz tersebut tetapi juga melibatkan tujuh buah perkampungan di sekitar iaitu lima buah perkampungan Melayu dan dua perkampungan Orang Asli. Ianya melibatkan lebih 3000 penduduk dengan lebih kurang 600 buah rumah.

SOP adalah sama dengan apa yang kita lakukan di Kluang iaitu tidak boleh keluar masuk kampung. Yang berada di luar tidak boleh masuk kampung dan yang berada di kampung tidak boleh keluar. Pihak polis dan tentera berkawal di pintu-pintu masuk kampung.

Dari segi makanan dihantar oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan akan menghantar melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghantar makanan kepada penduduk di kampung tersebut. Dalam masa 14 hari PKPD dilaksanakan saringan akan dibuat dari rumah ke rumah.

Dari segi laporan pematuhan, semalam pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 828 individu di sekatan jalan raya dan juga rondaan PDRM kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jika kita lihat, tangkapan semakin meningkat menunjukkan bahawa pihak polis mengambil tindakan lebih tegas daripada sebelumnya. Sebenarnya sasaran kita bukan untuk menambah tangkapan, tetapi sasaran kita untuk mengurangkan tangkapan. Semakin banyak tangkapan setiap hari, bermakna masih ramai rakyat kita tidak patuh kepada arahan yang dikeluarkan.

Sebab itulah sasaran kita bahawa semakin hari perlu semakin kurang tangkapan bagi kita menunjukkan bahawa pematuhan rakyat semakin tercapai secara keseluruhannya.

PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 1520 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan terhadap 257,287 kenderaan. Sebelum ini terdapat 23 sekatan jalan raya di tol tetapi mulai semalam telah ditingkatkan kepada 65 sekatan di plaza-plaza tol dan ianya akan ditingkatkan kepada 114 plaza tol di seluruh negara.

Sehingga semalam jumlah keseluruhan anggota yang bertugas sama ada PDRM, ATM, RELA dan juga APM adalah seramai 67,774 anggota. Kita mempunyai simpanan yang lebih ramai jika diperlukan dan akan di tambah dari masa ke semasa.

Untuk fasa kedua PKP yang akan bermula pada 1 April 2020 nanti, kita akan meningkatkan dari segi sekatan dan juga pergerakan. Pada tahap kedua ini saya percaya ianya tentulah berbeza daripada cara yang kita lakukan pada tahap pertama.

Walau bagaimana ingin saya tegaskan, di fasa kedua ini masih lagi membenarkan beberapa pergerakan. Kedai-kedai (runcit dan makanan) masih lagi dibuka seperti biasa cuma mungkin dari segi kawalan masa dan sebagainya.

Tetapi untuk fasa kedua ini berbeza dengan PKPD di Simpang Renggam dan juga Hulu Langat. Kalau disana, tidak boleh keluar langsung dan makanan akan dihantar ke rumah tetapi disini tidak. Jauh sekali dengan perintah berkurung seperti diwar-warkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Antara sekatan-sekatan yang akan kita laksanakan ialah berkenaan premis perniagaan. Seperti kita tahu semua premis perniagaan selain daripada keperluan harian, makanan dan sebagainya adalah tidak dibenarkan. Seperti kita tahu, pasaraya besar membuka premis mereka sehingga pukul 10 malam dan ada sampai jam 12 malam.

Oleh itu bagi fasa kedua, kita membuat keputusan bahawa waktu operasi pasaraya, atau mana-mana premis yang menjual barang keperluan makanan harian adalah diantara jam 8 pagi hingga jam 8 malam.

Bagi restoran, kedai-kedai makan walau kita benarkan beroperasi makanan berbungkus dan dibawa pulang, waktunya juga antara 8 pagi hingga 8 malam.

Operasi stesen minyak juga dihadkan kepada 8 pagi hingga 8 malam.

Jadi, ‘standard’ kesemua yang menjual makanan, keperluan harian dan sebagainya adalah pukul 8 pagi hingga 8 malam termasuk penghantaran ke rumah.

Pihak kerajaan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan pembelian secara atas talian. Walaupun penghantaran atas talian, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak bersemuka dengan pihak yang menghantar makanan. Kita lebih menggalakkan supaya makanan ditinggalkan di luar pagar dan penghantar makanan menghubungi tuan rumah untuk mengambil makanan apabila penghantar makanan tersebut beredar dari rumah tersebut. Kita cuba mengelakkan adanya pertemuan bersemuka kerana kita cuba mengelakkan pergerakan yang boleh menyebabkan merebaknya COVID-19.

Waktu operasi pengangkutan awam kita kekalkan dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam. Kita faham ada pekerja yang syifnya berakhir jam 8 atau 9 malam. Jadi mereka masih boleh menggunakan kenderaan awam kecuali teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi secara berterusan dari 6 pagi hingga 10 malam. Ini termasuk kenderaan-kenderaan persendirian.

Seperti yang kita maklumkan bahawa kenderaan persendirian, walaupun dibenarkan untuk membeli bahan makanan dan sebagainya tetapi kita tetapkan satu orang untuk satu kenderaan.

Kita memahami bahawa masih banyak pengangkutan komersial yang melibatkan barang keperluan seperti makanan dan perubatan kini berada di atas jalan raya dari pagi hingga ke malam. Kita memang membenarkan kenderaan tersebut beroperasi. Walau bagaimana pun kerajaan menggalakkan kenderaan komersial untuk barangan keperluan ini, beroperasi di antara 7 malam hingga 7 pagi. Ianya digalakkan, bukan arahan. Kerana kita dapati ada kenderaan memerlukan jangka masa yang panjang untuk beroperasi.

Sebagai contoh, dari Johor Bahru ke Perlis saya difahamkan sampai 17 hingga 18 jam, jadi kita bersetuju pengecualian itu diberikan walaupun kita galakkan operasi di waktu malam.

Aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian walaupun dalam ‘gated area’ sekalipun, undang-undang kita sama merangkumi semua lapisan masyarakat. Tidak ada perbezaan dari segi penguatkuasaan undang-undang. Kita tidak benarkan aktiviti itu dijalankan tetapi kita ada kelonggaran untuk golongan autism dan orang kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan terapi seperti yang dinasihatkan oleh pakar. Walau bagaimanapun kita melarang secara berkumpulan.

Pihak kerajaan telah pun mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menentukan harga siling topeng muka. Kita dapati bahawa topeng muka tidak banyak dikeluarkan di dalam negara tetapi kebanyakkannya diimport dari negara luar. Jadi kita juga terikat dengan harga yang diimport tadi. Oleh itu mesyuarat bersetuju harga siling topeng muka adalah RM1.50. Iaitu 0.50 sen lebih murah daripada harga yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM2.00. Kita akan terus kaji dari masa ke semasa harga tersebut jika didapati harga yang diimport menurun harganya kita mungkin akan mengumumkan semula harga yang lain dan harga yang baru.

Esok akan ada beberapa perkara yang penting juga yang akan diumumkan dari segi PKP fasa kedua.

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Menteri Kanan (Keselamatan) Menteri Pertahanan Malaysia

30 Mac 2020