Kuala Lumpur, 4 April: Sejumlah pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling yang dikurantinkan di Institut Sosial Malaysia didapati positif Covid-19, mencetuskan kebimbangan mengenai tahap SOP kuarantin di pusat tersebut.
Satu sumber memberitahu Buletin TTKM bahawa terdapat para pelajar yang didapati menziarahi bilik lain kerana mereka tiada memiliki telefon bimbit. Ini menyebabkan mereka pergi ke bilik pelajar lain yang memiliki alat komunikasi itu untuk berhubungan dengan keluarga.
Menurut sumber itu lagi, proses disinfeksi seluruh ISM telah dijalankan semalam sebaik sahaja keputusan mengenai sejumlah pelajar positif Covid-19 diumumkan.
Buletin TTKM difahamkan ujian swab yang pertama dilakukan terhadap pelajar tahfiz tersebut sewaktu di pusat tahfiz Mifhatul Ulum Sri Petaling, manakala ujian kedua ketika tiba di ISM dan ujian swab ketiga dilakukan pada penghujung Mac. Pada ujian ketiga ini, sejumlah para pelajar didapati positif.
(Buletin TTKM tidak menyiarkan jumlah tersebut selagi ia tidak diumumkan oleh KKM. Walau bagaimanapun The Malay Mail melaporkan jumlah pelajar yang didapati positif adalah seramai 41 orang. )
“Ada sebabnya mengapa kita mengkuarantinkan mereka selama 14 hari. Kita perlu memastikan bahawa apabila kita dikuarantin, perlu duduk di bilik hotel atau di bilik kuarantin dari bercampur dengan orang sekeliling. Sebaik sahaja anda bercampur dengan orang lain, terdapat kemungkinan pemindahan (virus) dari seseorang kepada yang lain.
Apa yang kita tahu adalah mereka didapati positif setelah diuji. Sama ada mereka bercampur di tengah malam kita tidak tahu. Sebab itu kita perlu menguatkuasakan dalam maksud memastikan mereka berada di dalam bilik.
Untuk kumpulan ini, kemungkinan mereka (didapati positif) kerana bercampur dengan orang lain atau kerana tempoh inkubasi adalah 14 hari, itulah kemungkinannya. “
Walau bagaimanapun, tiada jumlah yang jelas mengenai pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling yang didapati positif covid-19 di ISM pada sidang media tersebut
Pada 23 Mac lepas, 132 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling ditempatkan ke pusat itu bagi menjalani proses kuarantin 14 hari. – Buletin TTKM-