Cheras, 12 April: Seramai 41 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling yang didapati positif covid-19 telah sembuh dan didiscaj dari wad di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).
Perkara ini diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di laman facebooknya.
“Alhamdulillah, pada hari ini 12 April 2020 (Ahad), seramai 41 pesakit positif COVID-19 daripada kalangan pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling telah selamat sembuh dan didiscaj dari wad di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).
Mereka merupakan sebahagian daripada pesakit positif COVID 19 daripada kluster tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan dimasukkan ke HCTM pada 2 April 2020. Para pelajar terbabit adalah pelajar lelaki berumur dari 14 hingga 29 tahun. Mereka telah terdedah kepada COVID -19 samada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada awal Mac 2020 dan juga daripada persekitran masjid selepas perhimpunan.”
Tambah beliau lagi, kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom dan 2 ujian swab saringan awal pada pertengahan Mac dan pada 24 Mac adalah negatif.
“Mereka telah dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan pada 2 April, keputusan ujian swab ke 3 yang di ambil pada 30 Mac adalah positif COVID-19. Para pelajar seterusnya dimasukkan ke HCTM bagi rawatan lanjut. Rawatan di HCTM berjalan lancar dan hanya seorang daripada mereka mengalami simpton batuk pada 5 April 2020 dan diberikan rawatan Hydrochloroquine. Kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada hari ini 12 April 2020.”
Pada 4 April lepas, Buletin TTKM mendedahkan sejumlah pelajar tahfiz yang dikuarantinkan di Institut Sosial Malaysia didapati positif covid-19 setelah mendapat maklumat dari sumber.
Pada ketika itu, tiada kenyataan dari KKM mengenai jumlah pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling yang didapati positif covid-19. – Buletin TTKM