June 20, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Zahid jangan masuk campur urusan PM! – Exco Armada

Kenyataan Media:
ZAHID JANGAN MASUK CAMPUR URUSAN PENTADBIRAN TSMY. RAMAI BERSATU SABAH LEBIH LAYAK!

Selaku ahli BERSATU dan juga kepimpinan saf pemuda (ARMADA) BERSATU, suka saya mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak campur tangan secara berlebihan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Zahid sememangnya boleh menyatakan pandangan, itu hak beliau namun harus menghormati TSMY dari ‘mendesak berlebihan’ dalam menyatakan tuntutan soal perjawatan, ini kerana hak melantik ke mana-mana jawatan persekutuan adalah hak prerogatif Perdana Menteri Ke-8 yang juga Presiden BERSATU.

Hari ini tular di media sosial dengan turut dilaporkan di beberapa portal berita mengenai desakan pihak UMNO melalui Presidennya yang turut disahkan sumber dalaman UMNO seperti dilaporkan (berita) mengenai tuntutan perjawatan khususnya kepada beberapa pimpinan UMNO Sabah. Antara nama yang dicadangkan termasuk Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, yang disabitkan kesalahan #RASUAH dan masih menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk dijadikan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Zahid dan seluruh kepimpinan UMNO perlu sedar begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh BERSATU utamanya kepimpinan parti khususnya TSMY yang menyusun barisan eksekutif dan pimpinan di agensi serta GLC apabila ramainya adalah dari kepimpinan UMNO. Maka jangan tamak!

Kita telah menyaksikan sejak peralihan koalisi kerajaan yang memerintah, UMNO kini diberi peluang kedua sehingga negeri mahupun kementerian di bawah teraju BERSATU atau yang seharusnya dipimpin BERSATU juga telah dikorbankan. Maka sifat gila kuasa seakan UMNO sahaja yang layak adalah suatu perlakuan yang tidak mencerminkan keharmonian dalam gabungan dan ini tidak seharusnya ditonjolkan dalam keadaan wabak yang sedang melanda! Malah dalam kalangan UMNO juga sepakat bahawa kita seharusnya mengelakkan dari ‘berpolitik’ saat wabak ini!

Juga di Sabah, pimpinan negeri dari BERSATU seperti Datuk Hajiji Noor, Datuk Masidi Manjun dan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dilihat lebih layak dan mempunyai kredebiliti dari nama-nama yang dicadangkan oleh pihak UMNO. Maka selaku suara BERSATU itu sendiri, saya sarankan agar Zahid Hamidi menghormati dan menyerahkan segala atas kebijaksanaan TSMY. Dan sekarang hakikatnya bukan masa untuk lebih fokus bicara soal jawatan melainkan hal wabak yang lebih menghimpit rakyat dan negara. UMNO diminta jangan merumitkan lagi keadaan! Juga buat TSMY, pohon jangan tunduk pada tuntutan UMNO.
.
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR
EXCO ARMADA NASIONAL
Ahli BERSATU 00000141

93800349_831842373979596_629818531180969984_n93665930_831842397312927_5423030384596090880_n93913280_831842443979589_9205406764181225472_n93636158_831842517312915_8993267763812237312_n

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: