Timb menteri kesihatan mohon maaf

Putrajaya, 20 April: Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato Noor Azmi Ghazali memohon maaf atas kehadirannya di sebuah program di maahad tahfiz di Lenggong, Perak, yang didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman facebooknya, Noor Azmi berkata beliau telah memberi keterangan di ibu pejabat polis (IPD) Putrajaya hari ini, dan sedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis.

“Saya memohon maaf berhubung kehadiran di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong. Perak pada Jumaat 17 April 2020, selepas lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Lenggong.
Saya juga amat menghargai pengorbanan besar yang dilakukan oleh barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, warga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan anda semua.
Saya telah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polls Daerah Putrajaya (IPD Putrajaya) petang ini dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam menjalankan siasatan.
Saya amat menghargai komitmen pihak polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam usaha menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu, jawatan dan sebagainya.

Kelmarin, beberapa gambar program itu yang dimuat naik di laman Facebook beliau , tular di media sosial dan mengundang kritikan warganet kerana didakwa melanggar PKP.

Gambar yang turut dinaikkan adalah jamuan makan bersama Pesuruhjaya PAS Perak merangkap exco kerajaan negeri Perak, Haji Razman Zakaria.

Walaubagaimanapun, hantaran dan laman facebook tersebut didapati tidak dapat diakses setelah mendapat kritikan warganet dipercayai dinyahaktifkan.

Semalam, Haji Razman Zakaria turut memohon maaf di atas insiden itu.

Beliau juga dilaporkan telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada hari yang sama.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Razarudin Husain dilaporkan berkata insiden itu disiasat mengikut Peraturan 6, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No3) 2020.

Warganet mendesak tindakan diambil terhadap kedua mereka kerana banyak kes rakyat biasa yang melanggar PKP dikenakan denda atau hukuman oleh mahkamah.

Noor Azmi merupakan ahli parlimen PPBM Bagan Serai  yang melompat dari Barisan Nasional. -Buletin TTKM-

 

 

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version