April 18, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Rakyat perlu diingatkan kerajaan sekarang adalah pintu belakang- Mat Sabu

KENYATAAN PRESIDEN AMANAH

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya dapat melihat pemimpin dan anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) di segenap peringkat umumnya mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan dengan baik.

Bermula dari peringkat Nasional, AWAN, Pemuda, WARDA, negeri, kawasan sehinggalah ke cawangan, masing-masing memainkan peranan bagi memastikan wabak COVID-19 ini dapat dihentikan.

Syabas dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua termasuk pasukan ARiF dan aktivis-aktivis parti yang bertungkus lumus membantu masyarakat dan golongan yang memerlukan, khususnya di negeri-negeri yang bukan diperintah oleh Pakatan Harapan.

Di samping mematuhi arahan pihak keselamatan, marilah kita sama-sama berdoa agar rantaian wabak ini dapat dihentikan dan PKP dapat ditamatkan agar masyarakat dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bermula 28 April ini, seluruh ahli AMANAH perlu kembali melaksanakan tugas siasah dengan lebih kuat lagi dan memperkasakan strategi penerangan.

Rakyat perlu terus diingatkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah bukan diperolehi melalui mandat rakyat tetapi melalui pintu belakang.

Ketika berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, pemimpin AMANAH diserang habis-habisan, dimaki dan dicerca termasuk dilabel munafik oleh parti Islam khususnya dalam isu meluluskan Akta 355 di Parlimen.

Namun sekarang ini, parti Islam yang menghentam AMANAH itu, kini sudah ditampuk kuasa walaupun melalui pintu belakang. Maka tugas untuk membawa dan meluluskan Akta 355 kini menjadi tanggungjawab parti Islam dan tentunya ia menjadi lebih mudah kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.

Kepada seluruh pemimpin dan ahli AMANAH, persiapkan hujah untuk tugas yang lebih berat bermula 28 April ini.

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara

21 April 2020


Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: