KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua umat Islam di negara ini supaya menerima baik pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui dalam suasana mereka melaksanakan ibadah puasa kali ini.
Beliau berkata demikian dalam video perutusan Ramadhan yang dinaikkan di laman facebooknya.
Katanya, sekatan perjalanan yang terpaksa dilakukan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 itu sudah tentu mengubah banyak tradisi dan ibadah tertentu Ramadan sebelum ini, namun ia tidak akan menjadi beban sekiranya umat Islam mengamalkan sikap kesederhanaan dan dapat mengekang hawa nafsu.
“Antara yang terpaksa kita hentikan ialah majlis berbuka puasa beramai-ramai dan sembahyang tarawih secara berjemaah. Kita juga tidak dapat membeli juadah yang enak di bazar-bazar Ramadan. Selain itu, pergerakan kita untuk melawat dan berbuka puasa dengan seanak-saudara juga turut terjejas.
“Dalam lain perkataan, Ramadhan kali ini menuntut kesabaran dan kekangan nafsu dari kita yang jauh lebih berat berbanding dahulu. Sama ada kita sedar ataupun tidak, cabaran yang kita hadapi dalam bulan Ramadan kali ini sebenarnya menguji tahap kesungguhan kita untuk kita mempertahankan rakyat dan negara,
Ini kerana jika kita tidak dapat membendung nafsu dan masih mahu menjalani ibadah puasa seperti tahun-tahun yang lalu, kita akan memperjudikan kehidupan rakyat yang lain termasuk diri kita sendiri,”
“Yakinlah, bahawa pengorbanan yang perlu kita lakukan itu adalah kecil berbanding dengan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh mereka yang perlu berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kelangsungan kehidupan kita semua. ”
-Buletin TTKM-