June 20, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

‘Long Tiger’ ditahan kerana siasatan kes fitnah pegawai polis.

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengesahkan siasatan ke atas seorang lelaki yang dikenali sebagai Long Tiger dibuat atas kesalahan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Tambah beliau,  suspek kini direman lima hari, ditahan di rumahnya di Muar, pada Selasa.

Berita Harian memetik beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan.

“Suspek didapati mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster dan polis sedang membuat siasatan lanjut.

“Suspek bukan warganegara Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar atau Rohingya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” 

Long Tiger menjadi bualan netizen kerana kelantangannya ketika melakukan siaran langsung di facebooknya  sehingga menimbulkan kontroversi.

Laman facebooknya yang kini telah dinyahaktif, mempunyai lebih 100k pengikut.

Mengulas lanjut, Ayob Khan turut menafikan persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan pemegang kad UNHCR kebal dari tindakan undang-undang.

“Tiada siapa pun kebal. Sesiapa yang membuat kesalahan tidak kira siapa pun termasuk pemegang kad UNHCR akan berdepan tindakan undang-undang,” – Ayob Khan

Pada perkembangan yang sama,   seorang anggota polis IPD Muar berpangkat koperal turut ditahan atas kesalahan merakam gambar dan video penahanan Long Tiger.

“Merakam gambar serta video suspek di dalam tahanan adalah satu kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan kita akan buka kertas siasatan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.

“Tiada pilih kasih walaupun kesalahan dilakukan anggota kami, ” – Ayob Khan

-Buletin TTKM-

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: