Menteri Kewangan saran bank lupuskan faedah terakru moratorium sewa beli dan keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Setelah semalam menegur Bank Negara Malaysia supaya memperbaiki komunikasi berikutan ilustrasi FAQ moratorium sewa beli yang menimbulkan kekeliruan dan kecaman warganet, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menyaran institusi kewangan mempertimbangkan untuk melupuskan faedah terakru pinjaman sewa beli , serta keuntungan dari pembiayaan Islam dengan kadar tetap , dalam tempoh moratorium enam bulan pembayaran balik pinjaman.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Zafrul yang mengambil maklum persoalan mengenai isu tersebut yang banyak ditimbulkan media massa dan warganet berkata, walaupun terdapat banyak bank yang menawarkan penangguhan pinjaman tanpa mengenakan bunga terakru atau terkumpul, kelonggaran itu tidak merangkumi semua produk pinjaman dan setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium.

𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐤𝐢𝐫𝐚 𝐭𝐞𝐫𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐦𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐢𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐝𝐢𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫 𝐩𝐞𝐫𝐦𝐢𝐧𝐭𝐚𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭, 𝐬𝐚𝐲𝐚 𝐢𝐧𝐠𝐢𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐚𝐫𝐚𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐠𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚 𝐢𝐧𝐬𝐭𝐢𝐭𝐮𝐬𝐢 𝐤𝐞𝐰𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐮𝐬𝐧𝐲𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐦𝐨𝐫𝐚𝐭𝐨𝐫𝐢𝐮𝐦 𝐢𝐧𝐢 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐦𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐟𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐚𝐤𝐫𝐮 (𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐩𝐢𝐧𝐣𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐰𝐚 𝐛𝐞𝐥𝐢) 𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐤𝐞𝐮𝐧𝐭𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧 (𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐩𝐞𝐦𝐛𝐢𝐚𝐲𝐚𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐛𝐞𝐫𝐤𝐚𝐝𝐚𝐫 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩) 𝐝𝐢𝐥𝐮𝐩𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐰𝐚𝐤𝐭𝐮 𝐭𝐞𝐦𝐩𝐨𝐡 𝟔 𝐛𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐦𝐨𝐫𝐚𝐭𝐨𝐫𝐢𝐮𝐦.

Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BNM. Namun yang demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

Katanya lagi, memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar disebabkan oleh wabak Covid-19, beliau sangat berharap agar pandangannya dapat dipertimbangkan oleh BNM dan institusi kewangan lain .

BNM semalam menyatakan kekesalan berikutan “kebingungan dan kegelisahan” yang timbul dari pengumumannya mengenai perubahan moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam dengan kadar tetap.

Bank pusat itu turut menafikan bahawa ia melakukan perubahan pada pengumuman awalnya.

Dalam penjelasannya, BNM berkata persepsi yang salah berlaku kerana ilustrasi yang disediakan dalam versi awal FAQ, “di mana anggapan dan peringatan tertentu dibuat.”

Buletin mendapati versi awal FAQ bertarikh pada 27 Mac itu telah dipadamkan dari laman web Bank Negara Malaysia sebaik sahaja pengumuman 30 April dibuat BNM berikutan kecaman dari warga net kerana didakwa melakuan pusingan U.

Dalam FAQ tersebut menunjukkan tiada faedah tambahan dikenakan pada sewa beli sekiranya peminjam memilih untuk moratarium 6 bulan.

(FAQ  tersebut boleh diakses melalui arkib internet di sini. ) 

Dalam FAQ itu, ditunjukkan satu illustrasi di mana bayaran pinjaman sewa beli bulanan adalah sama selepas mengambil moratorium 6 bulan iaitu tiada pertambahan.

FAQ Bank Negara 27 Mac 2020, contoh bayaran bulanan sewa beli:

Sebelum penangguhan : RM1,133

Selepas Penangguhan : RM 1,133 ( tiada pertambahan) 

FAQ Bank Negara Malaysia yang telah dipadamkan dari laman web BNM. 

Walau bagaimanapun, dalam FAQ terbaru yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan  contoh pembayaran bulanan sewa beli bertambah selepas mengambil moratorium 6 bulan berikutan faedah yang dikenakan.

FAQ Bank Negara 1 Mei 2020, contoh bayaran bulanan sewa beli:

Sebelum penangguhan : RM 712

Selepas Penangguhan : RM 731 ( pertambahan RM19) 

Semalam, ahli parlimen Bagan Datoh merangkap presiden UMNO. Dato Zahid Hamidi berkata pengumuman Bank Negara Malaysia dalam isu ini lebih memihak kepada kepentingan industri perbankan.

Tambah beliau lagi, perubahan  polisi yang dilihat menjaga kepentingan sektor kewangan di saat rakyat dan sektor-sektor lain sedang bergelut dengan bebanan kewangan adalah sesuatu yang mengecewakan rakyat.

“Kerajaan digesa mencari solusi terbaik bagi merungkai kemelut ini. Jangan kita bebani rakyat yang sudah terbeban dengan kehilangan punca pendapatan, pemotongan gaji, diberikan cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja dan tidak dapat menjalankan perniagaan. Segala bentuk ‘unnecessary stress’ berkaitan polisi kerajaan perlu dielakkan. Keprihatinan kerajaan dengan memahami denyut nadi rakyat ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini perlu diutamakan.

Saya amat berharap kerajan memberikan penjelasan segera, secara tuntas, dalam bahasa mudah untuk difahami oleh rakyat. Isu yang berkaitan kewangan dan pinjaman ini bersifat teknikal, mudah menimbulkan kekeliruan, oleh itu penjelasan dalam bentuk yang mudah difahami amatlah penting. – Dato Zahid Hamidi

-Buletin TTKM-

 

 

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: