Ingkar PKP: Nurul Zahid, suami didenda RM800

PUTRAJAYA, 5 Mei: Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret, Shahwira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah, menurut laporan Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah, 41, dan suaminya bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Kesalahan dilakukan pada 20 April 2020, jam 9 pagi.

Kedua-dua mereka melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan yang sama denan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya .

Di kamar pertuduhan, Timbalan Pendakwaraya, Nurashikin Mokhtar memohon supaya kedua-dua mereka dikenakan denda maksimum RM1,000.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kedua-kedua tertuduh memberi alasan anak guamnya mendapat surat jemputan dari Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi bagaimanapun, beliau dan suami tidak melalui pintu masuk hadapan mahkamah kerana dipercayai menggunakan laluan lain.

Beliau kemudiannya dilihat keluar dari kamar mahkamah pada jam 11.05 minit pagi dan sempat melambaikan tangannya kepada pengamal media serta mengucapkan terima kasih.

“Terima kasih semua dan selamat berpuasa,” – Nurul Hidayah

Nurul Hidayah memuat naik gambar pertemuan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan Timbalan Menteri Alam Sekitar Masrizal Muhammad di akaun Instagramnya pada 20 April.

Tindakan itu dikritik warganet lalu Nurul Hidayah mencabar  mereka supaya membuat laporan polis .

“Report la polis tak payah komen sini. Saya sedia bagi kerjasama untuk ambik keterangan dari saya. Saya cabar” – Nurul Hidayah

Capture2

Sementara itu, di media sosial, warga net mempersoal kenapa pasangan tersebut tidak dikenakan denda maksimum RM1000 seperti kebanyakan pesalah ingkar PKP yang lain.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain  dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di Gerik hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas. – Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.