Kuala Lumpur, 7 Mei: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof menolak permohonan ahli parlimen Semporna, Mohd Shafie Apdal, untuk mengemukakan usul percaya terhadap ahli parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir.
Dalam satu surat yang ditujukan kepada Shafie Apdal, Ariff berkata usul tersebut adalah bercanggah dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya telah meneliti usul yang dikemukakan oleh YB Datuk Seri Panglima serta perincian penjelasannya. Berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, saya mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri. Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul YB Datuk Seri Panglima ini dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat. “
-Kandungan surat Mohamad Ariff Md Yusof kepada Shafie Apdal
Surat itu mula tular di media sosial petang tadi disahkan sahih oleh Ariff ketika dihubungi sebuah portal berita.
Pada 28 Februari lalu ketika kemelut pergelutan kuasa akibat peletakan jawatan Tun Dr Mahathir, Arif turut menolak cadangan Tun Dr Mahathir supaya diadakan sidang parlimen kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.
Tun Dr Mahathir berulang kali mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli dewan rakyat dan seterusnya mahu dilantik semula sebagai perdana menteri. -Buletin TTKM-