Kerajaan PH Kedah tumbang, 2 Adun PKR letak jawatan, isytihar sokong Muhyiddin.

Alor Setar, 12 Mei: Kerajaan Pakatan Harapan Kedah tumbang hari ini apabila 2 adun PKR mengumumkan keluar dari parti.

Mereka adalah Adun Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas, Azman Nasrudin

Dalam satu sidang media bersama tengah hari ini, Ling berkata beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan presiden Anwar Ibrahim dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya dan Robert memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin” – Azman

Dengan pengumuman Ling dan Azman ini, Pakatan Harapan Kedah yang diketuai Menteri Besar Mukhriz Mahathir kini hanya mempunyai 17 kerusi di DUN manakala  pembangkang pula memperoleh 19 kerusi di mana PAS mempunyai blok terbesar.

Ini sekaligus bermakna menteri besar kerajaan PN Kedah yang baharu akan dilantik dari kalangan adun PAS.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) Kedah dijadualkan  akan mengadakan sidang media khas 3 petang ini di Kompleks PAS Kedah.

Minggu lalu, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya membuat kenyataan bahawa perubahan kerajaan negeri Kedah sudah tidak dapat dielakkan  dan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan di Kedah adalah tempang dan hilang majoriti.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk menerajui pentadbiran Kedah.

Mukhriz yang juga timbalan presiden Bersatu, sebelum ini berupaya mengekalkan kerajaan PH di Kedah meskipun presiden parti Muhyiddin Yassin telah membawa parti Bersatu keluar daripada gabungan itu untuk membentuk PN bersama-sama BN, PAS, GPS dan wakil bebas.

Pembentukan kerajaan PN di peringkat pusat ketika itu kemudian menyaksikan 3 kerajaan negeri PH turut tumbang iaitu Johor, Perak dan Melaka.

Mukhriz mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden dalam pemilihan parti PPBM yang kini terpaksa ditangguhkan kerana  wabak Covid-19.

Ini merupakan kali kedua Mukhriz kehilangan jawatan Menteri Besar, di mana kali pertama adalah sewaktu beliau dipecat dari UMNO oleh Dato Seri Najib Razak  pada tahun 2016 kerana  didakwa melakukan pelanggaran disiplin parti. -Buletin TTKM-

 

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.