PN serah 23 SD tidak percaya Mukhriz kepada Sultan Kedah.

PETALING JAYA, 13 Mei: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sudah dipersembahkan 23 akuan bersumpah dari adun yang mencadangkan calon baharu menggantikan menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Jumlah adun di Kedah adalah seramai 36 orang, ini bermakna dengan 23 adun, PN hanya kurang satu kerusi untuk mendapat 2/3 majoriti.

Kata Takiyuddin yang dipetik The Star Online,  SD berkenaan diserahkan ketika presiden Umno, PAS dan Bersatu mengadap Sultan Sallehuddin di Kuala Lumpur hari ini.

“Mereka memaklumkan kepada sultan bahawa ketiga-tiga parti bersetuju dengan calon yang dinamakan dalam SD berkenaan bagi menggantikan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah,”  – Takiyuddin 

Menurut Takiyuddin pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra.

Beliau menambah, langkah menggantikan menteri besar melalui serahan SD kepada sultan diambil kerana ia dianggap lebih wajar berbanding menggunakan kaedah undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Menurut laporan berkenaan, pertemuan tersebut berlangsung kira-kira sejam selepas Mukhriz mengumumkan beliau masih menteri besar Kedah yang sah.
Difahamkan, kesemua 23 adun tersebut mencadangkan supaya adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor, merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah sebagai menteri besar yang baharu.

Pertemuan dilaporkan berlangsung sejam selepas Mukhriz mengumumkan bahawa beliau masih lagi menteri besar Kedah.

Terdahulu, Mukhriz menafikan bahawa beliau sudah kehilangan majoriti di dewan undangan dan menambah kerajaan Pakatan Harapan Kedah masih belum jatuh dan beroperasi seperti biasa.

 

“Suasana politik di Kedah masih lagi terkawal, saya masih lagi menteri besar dan kerajaan masih lagi wujud, maka tidak benarlah dakwaan dari mana-mana pihak bahawa kerajaan ini telah jatuh semalam, 

“Ada beberapa proses lagi yang perlu dilaksanakan termasuklah yang melibatkan kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah sebelum perkara seperti itu boleh berlaku.

“Jadi, sebelum ia berlaku maka kerajaan ini masih lagi beroperasi seperti biasa dan sebab itu saya punya mesyuarat exco pun boleh berlangsung hari ini,”  – Dato Seri Mukhriz Mahathir

Semalam, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua). -Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.